Seri Iskandar, 7 Ogos 2024 – Seramai 12 orang mahasiswa tahun akhir dari program Sarjana Muda Seni Reka Grafik (Kepujian) UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah menamatkan sesi pameran akhir mereka pada 31 Julai 2024 yang lalu. Pameran akhir kali ini diberi nama Redefine 19; Kaizen. Tema Kaizen dipilih dalam mengetengahkan perubahan kepada perkara yang lebih baik. Dalam kata lain, tema yang dipilih ini juga merujuk kepada perubahan kecil yang akan memberikan impak yang besar kepada komuniti. Pemilihan tema kali ini juga adalah daripada proses penjanaan idea yang dilaksanakan dikalangan 12 mahasiswa tahun akhir ini.
Pengarah projek dari kalangan pensyarah bagi Pameran Redefine 19; Kaizen kali ini ialah Ts. Mohamad Quzami An-Nuur bin Ahmad Radzi dan dibantu oleh Ketua pelajar tahun akhir Sarjana Muda Seni Reka Grafik (Kepujian) iaitu Saudara Mohamad Safarin bin Mansuri. Pameran telah dijalankan sepenuhnya bermula 30 Julai 2024 dan berakhir pada 31 Julai 2024 dengan pengisian aktiviti perasmian dan juga perkongsian oleh penceramah daripada industri. Walaubagaimapun, aktiviti penilaian akhir telah dimulakan dua minggu lebih awal daripada tarikh pameran dijalankan yang mana melibatkan penilai daripada penilai dalaman iaitu Dr Hanafi Tahir dan Dr Hj Shahrel Nizar Baharom serta penilai industri iaitu En Saiful Bakhari. Pada 29 Julai 2024 pula merupakan aktiviti Redefine 19 simposium dengan bimbingan Dr Shahrunizam Sulaiman dan Dr Zul Imran yang mana pada masa ini pelajar berkongsi hasil kajian yang telah mereka jalankan.
Kesemua 12 orang mahasiswa tahun akhir dari program Sarjana Muda Seni Reka Grafik (Kepujian) ini juga terlibat dengan beberapa aktiviti sampingan yang boleh membantu ketampakan mereka seperti penyertaan pameran Sepakad 8, menjadi pempamer di International Convention on Creative Industry 2024 dan menyertai pertandingan inovasi di International Invention, Innovation & Design Competition 2024. Mereka telah memenangi satu pingat emas dan dua pingat gangsa semasa pertandingan inovasi ini. Semoga semua pengalaman serta aktiviti yang disertai oleh kesemua 12 orang pelajar tahun akhir ini akan memberikan impak yang positif kepada diri mereka dan semua yang terlibat.