SERI ISKANDAR, 20 JULAI 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah pun mengenal pasti beberapa program pengajian sedia ada untuk diperkasakan menjadi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sepenuhnya. Sehingga kini, kira-kira 40 program yang mempunyai unsur separa TVET serta mempunyai sukatan pelajaran teknikal yang berpotensi dijadikan program TVET. Inisiatif ini bertujuan mewujudkan kursus TVET yang berkualiti untuk disertai oleh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang ke arah menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan negara. Pada Ogos 2024, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap kecemerlangan dalam pendidikan tinggi dan agenda pendidikan inklusif apabila menerima pengiktirafan di Malaysia Education & TVET Awards 2024 (META 2024). Ini seiring dengan hasrat UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang sentiasa menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam penyediaan pelajar bagi menghadapi alam pekerjaan dan fokus untuk menghasilkan graduan berkebolehpasaran tinggi. UiTM senantiasa menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan pembelajaran khususnya untuk bumiputera.
Oleh hal yang demikian, Jawatankuasa Misi Akademik UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar meneruskan agenda UiTM ini dengan menyantuni bakal-bakal calon mahasiswa dan pelajar lepasan SPM di Karnival TVET dan STEM di SMK Seri Iskandar, Perak Tengah, Seri Iskandar, Perak. Pameran Inovasi dan Teknologi ini dianjurkan oleh Sekolah Menengah Seri Iskandar (SMeKSI) yang bermula pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang dengan pelbagai pengisian seperti pameran sains dan inovasi dalam kalangan pelajar. Program Misi Akademik ini juga diselitkan dengan sesi perkongsian dan pendedahan mengenai lima program diploma yang ditawarkan di Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Cawangan Perak, Seri Iskandar, iaitu Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital, Diploma Seni Halus, Diploma Seni Reka Fesyen, Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif dan Diploma Seni Reka Seramik serta sembilan program di Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi (JBAT) FSPU iaitu Diploma Seni Bina, Diploma Bangunan, Diploma Ukur Bangunan, Diploma Pengurusan Hartanah, Diploma Seni Reka Dalaman, Diploma Pembangunan Lanskap, Diploma In Quantity Surveying, dan Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah.
Budaya berpameran ini adalah sesuatu yang positif dalam membentuk minat pelajar dalam pengkhususan TVET yang sebenarnya bukanlah pilihan kedua, sebaliknya TVET adalah setara dengan bidang akademik lain yang ditawarkan kepada lepasan sekolah menengah sebagaimana yang dihasratkan oleh Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Keterlibatan pelajar dalam pameran-pameran ini dapat membentuk keyakinan diri dan mempertajamkan lagi kemahiran pelajar dalam menyampaikan idea-idea baru bagi merancakkan lagi persaingan sihat dalam industri TVET di samping dapat memberikan pemahaman dan pendedahan yang lebih jelas tentang peluang dalam kursus-kursus berkaitan TVET. Selain itu, pameran ini juga dapat menjadikan UiTM sebagai hub komunikasi dan mendekatkan UiTM dengan masyarakat setempat khususnya bumiputera.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, merangkap ADUN Belanja, En. Khairudin Abu Hanipah turut hadir memeriahkan pameran TVET dan seterusnya merasmikan karnival TVET anjuran SMK Seri Iskandar ini. Dalam ucapannya, beliau menegaskan usaha berterusan kerajaan untuk memantapkan kursus-kursus TVET dipertingkatkan lagi dengan adanya program TVET MADANI yang lebih tersusun dengan 4 fokus utama,
- Mewujudkan daya saing mampan melalui pemupukan daya tahan dan kecemerlangan.
- Mewujudkan pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan kemahiran berterusan.
- Membentuk ekosistem dan lanskap pembelajaran bestari dan terkini setiap peringkat.
- Melahirkan tenaga mahir TVET holistik memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Selain sokongan penuh kerajaan bagi program-program TVET ini, Naib Canselor UiTM, Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin menyambut baik saranan kerajaan untuk memperkasakan agenda TVET dalam membantu anak bangsa melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan memperkenalkan Higher Education Technical and Vocational Education and Training (HETVET) sebagai pendekatan baharu dalam Pelan Pendidikan 5.0@UiTM.
Laporan disediakan oleh Ahmad Khairul Azizi Bin Ahmad, pensyarah, Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, KPSK UiTM Perak, pengarang bersama Ashraf Bin Abdul Rahaman.