SERI ISKANDAR, 20 MEI 2024- Universiti Teknologi MARA adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang sentiasa menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam penyediaan pelajar bagi menghadapi alam pekerjaan. Seiring dengan fokus untuk menghasilkan graduan berkebolehpasaran tinggi, UiTM amat menggalakkan para pelajarnya untuk diberikan pendedahan-pendedahan praktikal yg diamalkan di dalam industri.
Oleh yang demikian, Jabatan Grafik dan Media Digital yang bernaung dibawah Kolej Pengajian Seni Kreatif atau dalam singkatannya dikenali sebagai KPSK, di UiTM Perak Kampus Seri Iskandar, tidak mahu ketinggalan dalam visi ini. Pelajar-pelajar Diploma Senireka grafik, sering, malah sudah menjadi suatu rutin kebiasaan untuk menggalakkan para pelajar berpameran. Keterlibatan pelajar dalam pameran-pameran ini dapat membentuk keyakinan diri dan mempertajamkan lagi kemahiran pelajar dalam menyampaikan ide-ide baru bagi merancakkan lagi persaingan sihat dalam industri. Selain itu pameran ini juga dapat menjadikan UiTM sebagai hub komunikasi dan mendekatkan UiTM dengan masyarakat setempat khususnya bumiputera.
Pameran akhir Diploma Senireka Grafik bagi Subjek ‘Advertising Design’ (GDT315) adalah salah satu inisiatif bagi mencapai objektif ini. Antara intipati pameran ini adalah presentasi pelajar berkaitan idea-idea dalam bidang pengiklanan antaranya penghasilan iklan bercetak (Print Ads). Iklan bercetak ini adalah iklan produk-produk yang berkaitan dengan syarikat Industri Kecil dan Sederhana atau dikenali sebagai (IKS). Syarikat dan produk-produk yg dipilih pelajar kebanyakannya adalah ‘real client project’ dimana setiap pelajar telah mendapatkan kebenaran syarikat-syarikat IKS ini untuk menghasilkan idea-idea pengiklanan bagi syarikat mereka. Penghasilan ‘Mock Up’ untuk ‘Supporting Marketng Tools’ (SMT) juga diaplikasikan di dalam pengkhususan ini. Pameran ini melibatkan 60 orang pelajar dengan melibatkan hampir 60 syarikat IKS dengan 9 org pensyarah yang bertindak sebagai pensyarah kelas dan konsultan bagi penghasilan projek-projek pelajar ini. Pensyarah-pensyarah jabatan Grafik dan Media Digital yang terlibat adalah En. Ahmad Khairul Azizi Bin Ahmad, En Syahrul Nizam Bin Shaari, Dr. Mohd Nasiruddin Bin Abdul Aziz, Dr. Mohd Khairulnizam Bin Ramlie, Ts Mohamad Quzami An-Nuur Bin Ahmad Radzi, Pn Intan Nor Firdaus Binti Muhammad Fuad, Pn Sharifah Raudzah Bt S Mahadi, Cik Wan Nurul Izzati Binti Wan Muhammad Zulkifli, dan Pn Nurul Nadiah Binti Jamaluddin.
Sudah tentu dalam penghasilan projek-projek ini, terdapat beberapa disiplin dan cara kerja (workflow) yang harus diikuti pelajar. Disini peranan pensyarah amat penting bagi memastikan projek-projek ini dapat diselesaikan dan paling penting, ianya dapat memenuhi kehendak klien-klien mereka. Proses-proses lakaran awal (thumbnail sketches) akan diteliti sebelum diluluskan ke peringkat lakaran semi komprehensif (details sketches) dan penghasilan karya akhir secara digital. Ini kemudiannya akan dinilai didalam sesi penilaian dalaman.
Proses akhir, sebelum pelajar mempamerkan karya akhir mereka, pelajar-pelajar perlu mencetak karya-karya akhir mereka mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Jabatan grafik juga menjemput panel industri iaitu Ts. Najat Affendy Bin Dzulkifly yang juga merupakan Karyawan Tamu daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai panel penilai luar. Pada pameran akhir ini, pihak UiTM khususnya Jabatan Senireka Grafik dan Media Digital juga menjemput klien-klien yakni syarikat-syarikat IKS yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, pemain-pemain industri pengiklanan, sekolah-sekolah sekitar Perak Tengah dan Sekolah Seni Sungai Siput dan tidak ketinggalan, masyarakat setempat turut dijemput untuk berkunjung ke pameran akhir pelajar ini. Pameran ini dapat membuka peluang-peluang pekerjaan secara terus kepada pelajar yang bakal tamat pengajian dan dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar Diploma Senireka grafik. Pameran ini juga dapat membantu mempromosikan UiTM kepada masyarakat sebagai satu institusi pengajian tinggi pilihan yang khusus untuk meningkatkan tahap akademik bumiputera.