SHAH ALAM, 16 Februari 2024 – Satu pameran dan penilaian akhir pelajar tahun akhir bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Perindustrian (Kepujian), Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah diadakan pada 14 hingga 16 Februari 2024 yang lalu. Pameran diberi nama ‘Industrial Design Showcase Feb 2024: Continuum’ ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Hajah Shahanum Md Shah, Penolong Naib Canselor, KPSK, UiTM Shah Alam pada hari terakhir di majlis penutup yang diraikan bersama lebih 300 orang pengunjung yang terdiri dari pensyarah, pelajar, penggiat industri dan para alumni bidang Seni Reka Perindustrian.
Pameran ‘Industrial Design Showcase Feb 2024: Continuum’ kali ini di definisikan atas maksud ‘kesinambungan peristiwa yang berlaku berturut-turut yang memimpin dari masa lalu hingga sekarang dan bahkan ke masa depan.’ Konsep kali ini mengetengahkan konsep “progression of design values” sebagai simbol reka bentuk masa hadapan. Disamping itu, slogan bagi pameran ini ialah “Charting Boundless Creativity: Pioneering New Horizons in Design.”
Seramai 27 orang pelajar dari 3 bidang pengkhususan iaitu ‘Product Design, Furniture Design & Automotive Design’ mempamerkan 57 hasil karya kreatif semester akhir mereka. Berbeza dari semester sebelumnya, pada kali ini, Penilaian & Pameran dijalankan dalam waktu serentak yang berlangsung hybrid iaitu secara talian dan juga bersemuka. Konsep penilaian dan pameran digabungkan dalam wadah satu program kali ini adalah berikutan dengan keadaan dan situasi tempoh masa yang dijalankan. Matlamat penganjuran program ini adalah untuk memberi latihan dan mempraktikkan kemahiran insaniah, kepimpinan jawatankuasa pelajar tahun akhir yang dibentuk dan merealisasikan nya sebagai pengurusan program yang professionalisme di samping mereka dapat mempamerkan semua hasil karya yang dibuat.
Seperti setiap semester, Program Seni Reka Perindustrian atau dikenali sebagai IDE akan menganjurkan sesi pameran tahun akhir bagi pelajar tahun akhir mempamerkan hasil karya mereka bagi membuka mata umum dan mendapatkan peluang kerjaya dalam pasaran industri luar. Pameran terbuka kepada umum ini dikendalikan sendiri oleh pelajar-pelajar tahun akhir dengan seliaan pensyarah. Program ini juga dijadikan platform dalam menghubungkan wakil-wakil industri, alumni dan akademik dalam memberi perkongsian dan kupasan rekabentuk industri tentang sesuatu karya dan aspek khususnya dalam akademik dan peluang kerjaya.
Dalam majlis perasmian penutup program ini juga telah menyampaikan anugerah kepada pelajar iaitu 3 orang dalam kategori Degree Project Excellent In Innovation Award, 2 orang dalam kategori Applied Project Best Furniture & Best Product Design Award, 1 orang dalam kategori Major Award: Best Overall Design Award, 1 orang dalam kategori Academic Excellent Award dan 1 orang dalam kategori Best Student Award. Kesimpulannya, penganjuran program “Industrial Design Showcase Feb 2024: Continuum” ini sentiasa akan menarik pandangan pemain industri khususnya bidang Seni Reka Perindustrian bagi melihat hasil karya yang dihasilkan. Ini akan membuka peluang kepada seluruh pelajar bidang Seni Reka Perindustrian sebagai platform untuk menampilkan potensi diri mereka kepada industri dan masyarakat. Justeru itu, program ini turut menjadi medan pertemuan di antara pelajar UiTM dan pihak industri untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan perindustrian bagi menyahut seruan universiti untuk melahirkan graduan yang berpotensi tinggi sebagai pekerja mahir dan berkebolehan menceburi bidang perindustrian digital IR4.0.
Disediakan oleh;
Ahmad Azahari Mohd Nazar
Siti Salwa Isa
Galeri Gambar: