Pameran Akademik UiTM Cawangan Sabah Sempena Karnival Pendidikan Dan Kerjaya 55 Tahun SMK Kuhara Tawau

TAWAU: Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan pameran akademik bertempat di Dewan Al- Farabi sempena program Karnival Pendidikan dan Kerjaya 55 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara Tawau, Sabah pada 6 hingga 7 Julai 2022 yang lalu. Program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Kuhara ini menyasarkan semua pelajar Tingkatan 4 dan 5, pelajar alumni, pelajar pra universiti dan pelajar sekolah luar yang berdekatan. Selain UiTMCSH Kampus Tawau, beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain serta beberapa agensi kerajaan telah dijemput untuk mengadakan pameran pendidikan dan kerjaya yang berlangsung selama dua hari.

Terdahulu, perasmian program karnival ini telah disempurnakan oleh Tuan Mokhtar Haji Abdul Rashid, Pengetua SMK Kuhara Tawau. Dalam ucapannya, menekankan kepentingan program karnival diadakan sebagai pendedahan kepada semua pelajar dan pengunjung yang hadir untuk mengetahui maklumat berkaitan pameran, promosi dan informasi program pengajian yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi awam atau swasta dan bidang kemahiran. Pada masa yang sama, para pelajar dan pengunjung boleh melihat profil dan latar belakang agensi-agensi yang terlibat di dalam pameran kerjaya. Seterusnya, mereka boleh mengkaji pasaran dan menjangkakan jenis bidang kerjaya yang sesuai dengan kemampuan latar belakang akademik setelah tamat pengajian seperti dalam bidang teknologi, perniagaan, perubatan, keselamatan dan sebagainya.

“Saya turut merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam program karnival kali ini dan ia menunjukkan kerjasama dan komitmen yang tinggi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua yang hadir khususnya kepada semua pelajar dan alumni SMK Kuhara Tawau”. tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, Koordinator Kampus UiTMCSH Kampus Tawau telah menyampaikan taklimat berkaitan kemasukan ke UiTM yang bertujuan memberi peluang kepada para pelajar Tingkatan 5 dan lepasan SPM untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pelajaran melalui program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) yang ditawarkan di UiTM Cawangan Sabah khususnya, dan UiTM secara keseluruhanya. Para pelajar dan pengunjung yang hadir juga telah diberi khidmat nasihat tentang kursus-kursus yang sesuai dengan kelayakan akademik bagi memudahkan permohonan yang akan dibuat.

Sementara itu, seramai 4 staf UiTMCSH Kampus Tawau yang diketuai oleh Koordinator Kampus bersama Tuan Haji Surjan Sirajudi, Encik Sulaiman Halim dan Encik Jemat Julaihi Basri bertugas untuk mempromosikan program PPT yang ditawarkan bagi kemasukan pelajar sesi Oktober 2022, selain program pengajian lain yang ditawarkan oleh UiTM secara keseluruhan. Para pelajar dan pengunjung berpeluang untuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan proses permohonan serta boleh mendapatkan kit akademik program Pra Diploma Sains, Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera), Pra Diploma Agroteknologi dan Pra Diploma Pengajian Islam serta program lain yang ditawarkan di UiTM.

Secara tuntas, sambutan yang amat menggalakkan telah diterima sepanjang dua hari pameran akademik sempena program karnival diadakan. Semoga dengan penganjuran Karnival Pendidikan dan Kerjaya seperti ini berjaya memberikan informasi yang jelas berkaitan program-program yang ditawarkan serta membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di UiTM.