Pameran Akademik Sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah

Tawau, 20 Mei 2022 : Daerah Tawau telah menjadi tuan rumah bagi Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1443H/2022M yang telah diadakan di Dewan Masyarakat Tawau pada 15 – 18 Mei 2022 yang lalu. Dalam majlis tersebut, UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau juga tidak ketinggalan menerima jemputan bagi mengadakan program  pameran akademik. 

Bersama dengan 25 jemputan lain yang terdiri dari Agensi Kerajaan serta Penggiat Industri Kecil dan Sederhana, seramai 12 staf Akademik dan Pentadbiran UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau dengan penugasan secara bergilir bagi menjayakan pameran akademik sepanjang 4 hari majlis tersebut berlangsung.

Sementara itu, pada 16 Mei 2022, Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Sabah, Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif telah melawat semua booth pameran dan seterusnya menyampaikan sijil kepada semua agensi berkaitan sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan. Sijil tersebut telah disampaikan kepada Koordinator UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau yang mewakili Universiti Teknologi MARA.

Dalam pada itu, YB Datuk turut merakamkan penghargaan dan berkata kerjasama semua pihak yang terlibat dalam program ini menunjukkan bahawa agensi kerajaan mempunyai komitmen yang tinggi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan masing-masing khususnya yang berada di Daerah Tawau.

Sebagai warga Tawau, UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau rasa amat bertuah kerana dapat turut serta dalam pameran di samping dapat merasai suasana Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Negeri Sabah yang berprestij tersebut.