OBE Refresher with FPA – “Meningkatkan Profesionalisme Staf Akademik ke Arah Pembelajaran Berkesan”

30 September 2024 Fakulti Perladangan dan Agroteknologi telah menganjurkan bengkel berkaitan Outcome Based Education (OBE) kepada semua staf akademik yang melibatkan para pensyarah dari kampus Jasin, Arau, Perlis, Mukah, Samarahan dan Kota Kinabalu. Bengkel ini telah dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Akademik dengan kerjasama Unit Kualiti Fakulti.

Sesi pertama bengkel telah dikendalikan oleh Dr. Nur Qursyna Boll Kassim iaitu Ketua Pusat Pengajian Prasiswazah (Diploma). Dalam sesi ini, Dr. Qursyna telah menekankan  mengenai konsep dan prinsip OBE, iaitu pendekatan pendidikan yang memfokuskan kepada hasil pembelajaran yang jelas dan terukur. Beliau juga membantu pensyarah untuk memilih strategi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian bagi memastikan pelajar mencapai tahap kompetensi yang diinginkan.

Sesi kedua bengkel pula telah dikendalikan oleh Dr. Nuraini Mohd Noor selaku Ketua Pusat Pengajian Prasiswazah (Ijazah). Untuk sesi ini, Dr. Nuraini telah menekankan kepentingan merangka Jadual Spesifikasi Ujian (JSU), Jadual Spesifikasi Ujian Berterusan (JSUB) dan Jadual Spesifikasi Projek (JSP) yang jelas dan mengikut standard OBE untuk setiap kursus yang ditawarkan. Beliau juga membimbing peserta untuk merangka dan menyediakan jadual-jadual tersebut secara tepat dan komprehensif.

Penganjuran bengkel ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan fakulti bagi memastikan para pensyarah dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan terkini berkaitan OBE . Pada akhir bengkel, para peserta sebulat suara menyokong pelaksanaan lebih banyak program seumpamanya pada masa akan datang bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan yang berasaskan hasil pembelajaran yang berkualiti.