Non Residen UiTM Shah Alam dan Masyarakat Jalin Kerjasama Hapus Denggi

Pada 28 September 2019 yang lalu, Unit Pengurusan Non Residen (UPNR) UiTM Shah Alam dengan kerjasama Persatuan Penduduk Seksyen 7, Badan Pengurusan Bersama (JMB)  Seksyen 7, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling serta para pelajar daripada Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam telah menggembeling tenaga bagi menjayakan program Advokasi Denggi NR 4.0.

Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat terutamanya penduduk di sekitar Seksyen 7 yang majoritinya terdiri daripada kalangan pelajar yang menetap di luar kolej kediaman.

Menurut statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah mencatatkan Selangor sebagai negeri yang paling teruk terjejas akan wabak denggi dengan rekod sebanyak 55,908 kes terkumpul setakat tahun ini, terutma Shah Alam. Menyedari hakikat itu, UPNR UiTM Shah Alam terpanggil untuk mengadakan program Advokasi Denggi NR 4.0 yang melibatkan pelajar dan penduduk sekitar seksyen 7 amnya.

Antara intipati program tersebut ialah ceramah berkenaan bahaya wabak denggi oleh wakil dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling serta disusuli dengan aktiviti jelajah dari rumah ke rumah penduduk untuk memberikan alat cegah pembiakan aedes berupa racun pembunuh jentik-jentik dan semburan aerosol serta risalah menerangkan bahayanya denggi.

Program Advokasi Denggi ini merupakan program berkala yang bermula pada tahun 2016 dan diteruskan sebagai acara wajib setiap semester bagi memupuk kesedaran akan kepentingan melestarikan alam sekitar bagi jaminan kehidupan yang lebih sihat sebagaimana seruan Rasulullah SAW yang bersabda bahawa kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.

Program yang bertempat di Surau As Siddiq, Pusat Komersial Seksyen 7 itu dirasmikan Puan Ikhwana Misnan, Pengurus Non Residen diiringi oleh Encik Helmi Mohamad, Pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling serta dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada penduduk setempat, para pelajar UiTM Shah Alam juga UiTM Puncak Alam.

Foto berkaitan:

1
0