National MakeX Robotics Competition 2019 & Mini MakeX Robotics Competition Peringkat Negeri Sarawak

KHAMIS 25 JULAI 2019, SAMARAHAN – Pertandingan Robotik MakeX Malaysia mula dijalankan di peringkat kebangsaan melalui kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak tahun 2018. Program ini merupakan hasil kerjasama antara pihak Telaga Biru Education, CrYsTaL UKM dan Makeblock Co., Ltd. seiring dengan pembangunan STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics) di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025.

Pada Disember 2018, 4 pasukan Robotik MakeX yang Berjaya di peringkat kebangsaan telah mewakili Malaysia ke Guangzhou, China. Penyertaan kali pertama ini telah menyaksikan 1 pasukan telah berjaya meraih tempat ketiga bagi “Technical Challenge”.

Kejayaan tersebut telah mendorong pihak Telaga Biru untuk memberi pendedahan tentang program Robotik MakeX kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di Sarawak, khususnya di sekitar kawasan Kuching dan Samarahan.

Program di peringkat negeri Sarawak ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan (PPD Samarahan), Pejabat Pendidikan Daerah Kuching (PPD Kuching), Pejabat Pendidikan Daerah Padawan (PPD Padawan), Makeblock Co., Ltd., UiTM Cawangan Sarawak dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Program Robotik MakeX Peringkat Negeri Sarawak ini diadakan pada 24 dan 25 Julai di UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 2 dengan tema “City Lights”. Program selama 2 hari ini dibahagikan kepada 2 kategori iaitu “MakeX Starter: City Guardian” dan “MakeX Challenge: Courageous Traveler” dan disertai oleh 11 buah sekolah.

Program ini dimulakan dengan sesi bengkel pada hari pertama di mana guru pengiring dan pelajar didedahkan dengan bidang pengaturcaraan, perkakasan elektronik serta peralatan mekanikal berasaskan Scratch dan Arduino menggunakan produk Makeblock.

Pengetahuan asas berkaitan sistem automasi, mekatronik, dan robotik ini kemudiannya diterjemahkan dan dipertandingkan dalam Sesi Pembentangan Rekabentuk Robot dan Sesi Pertandingan di Arena pada hari kedua program.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Rekor Bahagian Penyelidikan Dan Jaringan Industri, Prof. Madya Dr Abang Zainoren Abang Abdurahman. Pemenang menerima sijil dan hadiah iringan. Berikut adalah senarai pemenang:

Johan             :           Sekolah Menengah Teknik Sejingkat (TEKSEJ)

Naib Johan   :           SMK Jalan Arang (Jalan Arang 3)

Ke-3                :           SMK Sadong Jaya (Real Steal)

Inovasi

Sekolah rendah       :           SK Jalan Muara Tuang (Darnish)

Sekolah Menengah :           SMK Sungai Tapang (X-Files)

Foto menarik sepanjang majlis berlangsung:

0
0