National Allied Health Sciences Students’ Sport Event (NAHSSSE) 2022

UiTM Kampus Puncak Alam, 13 sehingga 23 Mei 2022 – Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan sesi 2021/2022 telah menguruskan pasukan atlet daripada Fakulti Sains Kesihatan, UiTM bagi menyertai program NAHSSSE 2022 anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini merupakan sebuah acara sukan tahunan yang terdiri daripada semua pelajar Fakulti Sains Kesihatan dari setiap universiti di seluruh Malaysia. Program ini dijalankan secara hybrid iaitu secara bersemuka melalui penyertaan sukan fizikal dan secara atas talian melalui permainan E-sports. Antara sukan fizikal yang dipertandingkan ialah futsal, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan badminton manakala bagi kategori E-sports pula, permainan yang dipertandingkan adalah Valorant, Player Unknown Battleground (PUBG), Mobile Legends dan Chess. Di samping menjadi platform untuk para mahasiswa bergiat aktif secara fizikal dan mental, program ini juga dijalankan bagi mewujudkan semangat daya saing secara sihat dalam kalangan mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan di seluruh Malaysia lantas dapat melahirkan pelajar Fakulti Sains Kesihatan yang mampu menyertai pelbagai bidang selain daripada bidang akademik semata-mata.

Seramai 78 orang mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Sains Kesihatan UiTM telah terlibat sepanjang program ini berlangsung. Program ini disertai oleh 8 orang peserta bagi acara futsal, 12 orang peserta bagi acara bola jaring, 10 orang peserta bagi acara bola keranjang, 20 orang peserta bagi acara bola tampar, 6 orang peserta bagi acara badminton, 15 orang peserta bagi permainan Mobile Legends, 5 orang peserta bagi permainan Valorant, dan 2 orang peserta bagi permainan Chess. Program ini dijalankan secara fizikal yang bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kampus Bangi dan secara atas talian dengan menggunakan aplikasi yang berbeza bagi setiap permainan seperti Mobile Legends Application, Valorant Application, PUBG Application dan Lichess.

Pencarian atlet sukan bagi mewakili UiTM ke pertandingan NAHSSSE 2022 mula giat dijalankan pada 7 sehingga 11 Mei 2022 melalui sebaran Google Form bagi proses pendaftaran E-sports manakala proses pencarian atlet sukan fizikal pula dijalankan melalui pemilihan yang telah dilakukan oleh setiap ketua pasukan bagi permainan masing-masing. Syarat yang ditetapkan oleh pihak UKM adalah setiap universiti perlu menghantar wakil dan jumlah maksimum yang perlu dihantar adalah sebanyak 2 pasukan bagi futsal, 2 pasukan bagi bola jaring, 4 pasukan bagi bola tampar dan bola keranjang yang terdiri daripada kategori lelaki dan wanita, 12 orang bagi badminton yang juga terdiri daripada kategori lelaki dan wanita, 3 kumpulan bagi Mobile Legends, Valorant dan PUBG manakala bagi Chess pula adalah 6 orang dimana 3 orang bagi kategori lelaki dan 3 orang lagi bagi kategori wanita.

Pertandingan E-sports telah dijalankan pada 14 sehingga 16 Mei 2022 yang melibatkan 22 orang mahasiswa dari UiTM. Melalui pertandingan ini, UiTM berjaya meraih 1 pingat emas menerusi pemainan Chess yang telah dimenangi oleh saudara Muhammad Muzani Bin Mohd Nasaruddin.

Seramai 56 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan UiTM telah menyertai pertandingan sukan fizikal yang dijalankan pada 21 sehingga 22 Mei 2022. Mereka telah berkumpul seawal 7.30 pagi di perhentian bas Kolej Angsana, UiTM Puncak Alam dan menaiki bas untuk bertolak ke Kolej Pendeta Za’aba (KPZ), UKM di Bangi pada pukul 8.00 pagi. Para atlet tiba di KPZ lebih kurang pada pukul 9.45 pagi dan diminta untuk melalui proses pendaftaran yang melibatkan proses pengecaman identiti dan saringan Covid-19. Setelah itu, pada pukul 2.00 petang, kesemua sukan fizikal mula berlangsung di dewan dan gelanggang yang telah disediakan sehingga pukul 7.00 petang. Pada 22 Mei pula, pertandingan sukan fizikal diteruskan bermula pada pukul 9.00 pagi dimana para peserta yang telah layak ke peringkat seterusnya bersaing antara satu sama lain bagi membawa pulang pingat ke universiti masing-masing. UiTM telah berjaya merangkul 2 pingat emas melalui acara bola jaring dan badminton kategori beregu lelaki, 1 pingat perak bagi acara badminton kategori perseorangan wanita serta 1 pingat gangsa menerusi acara bola baling kategori wanita. Acara fizikal telah ditamatkan pada pukul 3.30 petang dan para peserta dibenarkan pulang ke kolej kediaman bagi membuat persiapan untuk pulang ke universiti masing-masing. Peserta dari UiTM bertolak pulang ke Puncak Alam pada pukul 6.15 petang dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar dan telah tiba pada pukul 8.00 malam. Oleh hal yang demikian, program NAHSSSE 2022 pada tahun ini telah berakhir dengan kemenangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai juara keseluruhan.

Fakulti Sains Kesihatan berupaya bergerak maju ke hadapan seiring dengan pembangunan teknologi dan melahirkan mahasiswa yang cergas serta proaktif dengan adanya program seperti ini lagi pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana sukan fizikal dapat menyihatkan tubuh badan para mahasiswa manakala permainan E-Sports pula merupakan sebuah era baharu yang kian membangun dan sudah diiktiraf di peringkat global. Di samping itu, program ini mampu untuk melahirkan sebuah universiti yang diterajui oleh mahasiswa yang mempunyai sifat kesukanan yang tinggi dan bijak bekerja secara berkumpulan selain dapat merapatkan hubungan mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan dari setiap universiti di seluruh Malaysia.