Universiti Teknologi Mara, Kampus Puncak Alam, 12 sehingga 13 Mac 2022 – Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan sesi 2021/2022 telah mengadakan program NAHSSSE Selection 2022 di mana program ini merupakan sebuah program pencarian atlet sukan E-Sport yang layak untuk mewakili Fakulti Sains Kesihatan ke NAHSSSE 2022 yang bakal dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 17-21 Mac 2022 yang merangkumi permainan fizikal dan dalam talian.
Di samping mencari wakil Fakulti Sains Kesihatan ke National Allied Health Sciences Students’ Sport Event (NAHSSSE) 2022, program ini juga dijalankan bagi mewujudkan semangat daya saing secara sihat dalam kalangan mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan lantas dapat melahirkan pelajar Fakulti Sains Kesihatan yang mampu menyertai pelbagai bidang selain daripada bidang akademik semata-mata. Seramai 39 orang mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Sains Kesihatan telah terlibat sepanjang program ini berlangsung.
Program ini disertai oleh 15 orang peserta bagi permainan Mobile Legends, 10 orang peserta bagi permainan Valorant, 4 orang peserta bagi permainan PlayerUnknown Battleground (PUBG) dan 10 orang peserta bagi permainan Chess yang kesemuanya terdiri daripada mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan. Program ini dijalankan secara atas talian dengan menggunakan aplikasi yang berbeza bagi setiap permainan seperti Mobile Legends Application, Valorant Application, PUBG Application dan Lichess.
Pencarian peserta mula giat dijalankan pada 7 sehingga 10 Mac 2022 melalui sebaran Google Form bagi proses pendaftaran. Syarat yang ditetapkan oleh pihak UKM adalah setiap universiti perlu menghantar wakil dan jumlah maksimum yang perlu dihantar adalah sebanyak 3 kumpulan bagi Mobile Legends, Valorant dan PUBG manakala bagi Chess pula adalah 6 individu dimana 3 individu bagi kategori lelaki dan 3 individu lagi bagi kategori wanita. Penyertaan peserta bagi permainan Mobile Legends, Valorant, PUBG dan Chess kategori perempuan adalah kurang daripada 3 kumpulan, oleh sebab itu hanya Chess kategori lelaki sahaja dapat dijalankan pada 12 Mac 2022 bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang.
Seramai 6 orang peserta bersaing antara satu sama lain di dalam sistem Round Robin. Sistem ini digunapakai bagi mengenalpasti peserta yang paling layak untuk mewakil Fakulti Sains Kesihatan ke program NAHSSSE 2022. Terdapat 3 perlawanan dijalankan pada satu – satu masa dan setiap perlawanan yang dijalankan berdurasi dari 30 ke 45 minit. Setiap peserta memberi komitmen yang terbaik semasa perlawanan dimana mereka mematuhi masa yang ditetapkan oleh pihak penganjur dan permainan berjaya ditamatkan tepat pada masanya. Pelaksanaan program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan untuk menonjolkan bakat dalam diri mereka bahkan dapat melatih minda mereka untuk mengatur strategi bagi menewaskan pihak lawan.
Walau bagaimanapun, terdapat khabar yang kurang menggembirakan diterima pada saat – saat akhir pemilihan dimana pihak penganjur NAHSSSE 2022 terpaksa menangguhkan program ini atas sebab kurang penyertaan daripada universiti lain yang terlibat. Oleh hal yang demikian, peserta yang terpilih tidak dapat untuk meneruskan hasrat mereka untuk mewakili Fakulti Sains Kesihatan, UiTM ke NAHSSSE 2022.
Akhir kata, Fakulti Sains Kesihatan berupaya bergerak maju ke hadapan seiring dengan pembangunan teknologi dan melahirkan mahasiswa yang cerdas serta proaktif dengan adanya program seperti ini lagi pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana permainan E-Sport ini adalah era baharu yang kian membangun dan sudah diiktiraf di peringkat global. Di samping itu, program ini mampu untuk melahirkan sebuah universiti yang diterajui oleh mahasiswa yang mempunyai sifat kesukanan yang tinggi dan bijak bekerja secara berkumpulan selain dapat merapatkan hubungan mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan kerana mahasiswa tidak dapat berjumpa secara bersemuka antara satu sama lain dan program ini dapat menjadi satu wadah demi memupuk semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa