MV Khas Medley Lagu Raya Staf UiTM Cawangan Sabah 2022

Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah melalui Unit Kebudayaan telah menghasilkan sebuah klip video khas Medley Lagu Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 1443H/2022M dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat.

Pada 18 April 2022 telah bermulanya sesi rakaman suara yang melibatkan 10 orang staf dari pelbagai bahagian dan unit. Sesi rakaman klip video dilakukan pada 20 April 2022 di mana semua staf yang terlibat mengenakan busana hari raya. Sesi rakaman klip video telah mengambil tempat di persekitaran UiTM antaranya, bangunan Wibawa, Perpustakaan Tunku Abdul Razak (PTAR) dan bangunan Pusat Pelajar. Sepanjang penggambaran dijalankan, kru produksi telah memastikan semua kakitangan yang terlibat agar sentiasa mematuhi arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada. Projek rakaman klip video raya staf ini merupakan inisiatif dari unit kebudayaan di mana Encik Nuradzely bin Amat Darmawi merupakan pengarah klip video tersebut.

Hasil rakaman klip video khas Medley Lagu Raya Staf telah ditayangkan pada 2 Mei 2022 bersamaan dengan hari raya pertama. Video boleh ditonton di laman sosial Facebook Unit Kebudayaan UiTM Cawangan Sabah.

Antara objektif utama aktiviti adalah untuk menunjukkan suasana kekeluargaan dalam kalangan staf UiTM Cawangan Sabah serta mengeratkan lagi silaturahim sesama mereka. Selain itu, aktiviti ini juga menunjukkan suasana hari raya yang sebenar setelah hampir 2 tahun tidak dapat beraya bersama keluarga, sahabat dan rakan-rakan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara kita.

Secara keseluruhannya, Klip Video Khas Medley Lagu Raya Staf UiTM Cawangan Sabah merupakan salah satu strategi Unit Kebudayaan bagi mengekalkan hubungan silaturahim antara staf dari pelbagai bahagian dan unit UiTM Cawangan Sabah.