Bandar Seri Iskandar, Perak 27 APRIL 2024 – Bak kata pepatah muafakat membawa berkat mengungkap aktiviti program pemindahan ilmu dan teknologi solar kali ini yang berlangsung di Masjid As- Siddiq, Seri Iskandar, Perak. Selaras dengan konsep “Community Based Approached” (CBA), yang dicetuskan oleh ketua program P.M. Dr. Sr. Nur Azfahani Ahmad, hasil perkongsian ilmu dan dan usaha gotong royong para pelajar dan komuniti masjid ini berjaya menyiapkan kerja pemasangan 11 unit solar panel di kawasan masjid dalam tempoh setengah hari. Program ini adalah sebahagian projek kecil dalam menangani isu berkaitan aspek penjimatan tenaga elektrik, meningkatkan keselamatan di masjid dan pendedahan terhadap sumber tenaga hijau kepada masyarakat setempat.
Program ini dianjurkan oleh Program Ukur Bangunan, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak dengan kerjasama padu Kariah Masjid As-Siddiq, Taman Iskandar Perdana, Pejabat Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIMA), Unit Zakat, Sedekah & Wakaf UiTM Cawangan Perak, Persatuan Ukur Bangunan (BISA) dan Persatuan Pelajar Pengurusan Hartanah (EMAS). Kerja pemasangan solar panel di masjid ini melibatkan 40 orang peserta terdiri daripada kalangan pensyarah dan pelajar telah dilaksanakan pada 27 April 2024 bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Objektif program ini ialah sebagai saluran jaringan industri serta pemindahan ilmu dan teknologi antara pihak universiti dengan komuniti di sekitar. Pemasangan 11 unit solar panel dengan kuasa antara 10 hingga 120 Watt dibuat di 9 check-point kawasan sekitar masjid termasuk di 2 tiang lampu jalan memberi manfaat dalam penambahbaikan kemudahan pencahayaan yang mesra alam menggunakan tenaga solar dan keselamatan pengguna masjid serta penduduk sekitar pada waktu malam.
Projek Khidmat Masyarakat Universiti (USR) UiTM Cawangan Perak kali ini, sekali lagi dapat dijayakan oleh semua pihak yang terlibat dengan usaha dan niat penggunaan bersepadu teknologi lampu solar dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kecerahan untuk komuniti masjid melalui pendekatan berasaskan komuniti (CBA). Kesemua lampu solar yang telah dipasang berfungsi dengan baik setelah pemantauan dibuat pada waktu malam. Program ini juga bertindak sebagai inisiatif mengurangkan penggunaan tenaga elektrik konvensional sekali gus menjimatkan kos operasi bangunan masjid. Penggunaan tenaga solar tidak disangkal lagi faedahnya kepada masyarakat seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (UN SDG7) iaitu memastikan akses tenaga yang mampu dimiliki, mampan dan moden untuk semua.
Program ini berjaya mempamerkan komitmen tinggi daripada masyarakat luar bandar di samping memupuk semangat gotong royong serta menaburkan benih kesedaran pendidikan tenaga lestari dan meningkatkan aspek keselamatan masyarakat setempat melalui penggunaan tenaga hijau. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam program kali ini, semoga usaha murni dan istiqamah dalam membentuk komuniti lestari.