MPP UiTM Shah Alam Anjur Program Belia Imarah Ramadan Dengan Kerjasama Yayasan Prihatin Nasional Dan Mydin

Shah Alam, 12 April 2023 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam sesi 2022/2023 telah menganjurkan program “Belia Imarah Ramadan: Memperkasa Mahasiswa Qurani” bagi membolehkan mahasiswa UiTM menyambut Ramadan di kampus dengan aktviti – aktiviti yang berfaedah. Program Belia Imarah Ramadan ini berlangsung selama 11 hari iaitu bermula pada 1 hingga 11 April. Program ini merupakan batu loncatan pemerkasaan mahasiswa dalam menguruskan aktiviti – aktviti berimpak tinggi.

Antara program yang telah dianjurkan ialah majlis khatam Al – Quran, pembukaan Bazaar Ramadan, pengagihan makanan sahur kepada pelajar di kolej kediaman, pertandingan TikTok Ramadan dan pemberian sumbangan kepada pelajar golongan asnaf, B40 dan OKU. YBhg. Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor, telah merasmikan program ini di Padang Kawad, UiTM Shah Alam. Datuk Naib Canselor telah menekankan bahawa aktiviti seperti ini wajar diteruskan demi kebaikan bersama seterusnya dapat menaikkan nama universiti secara keseluruhan. “Program seperti ini sedikit sebanyak dapat menerapkan nilai-nilai positif dalam kalangan warga UiTM untuk sentiasa berbuat kebaikan kepada masyarakat”, ujar beliau.

Program ini telah memanfaatkan 100 orang pelajar golongan asnaf, B40 dan OKU dari UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Selangor. YBhg. Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional telah menyempurnakan sesi penyampaian sumbangan ini dalam majlis penutup yang dianjurkan pada 11 April 2023. Yayasan Prihatin Nasional telah memberikan sumbangan kuih raya dan duit raya kepada pelajar yang terpilih. Antara penaja lain yang turut menyumbang dalam program ini ialah MYDIN dan KOSISWA UiTM. Semua penerima sumbangan telah menerima sumbangan makanan kering, kuih raya dan duit raya.

Secara keseluruhannya, program Belia Imarah Ramadan ini telah mengukuhkan sifat kerohanian dalam kalangan pelajar supaya terus memperbanyakkan ibadah dan bersedekah pada bulan yang mulia ini. Harapan Bahagian Hal Ehwal Pelajar agar program sebegini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang yang dapat memanfaatkan lebih ramai warga UiTM.