SHAH ALAM, 9 Julai 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) telah menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan industri iaitu Boardroom Pte Ltd, Melody Corporate House Sdn Bhd, dan Centre for Future Studies Berhad (The Future). Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan industri telah berlangsung di Ruang Legar Aras 7, Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. Majlis ini merupakan simbolik yang melambangkan permulaan usaha kerjasama antara pihak akademia dan industri. Turut hadir adalah Dekan FSPPP, Prof. Madya Dr Nor Hafizah Mohamed Harith, Ahli Lembaga Pengarah Centre for Future Studies Berhad (The Future), Dato’ Amir Bin Omar, Ketua Boardroom Academy, Andrea Chua dan Pengarah Melody Corporate House Sdn Bhd, Muhammad Azreen Bin Osman.
Matlamat utama MoU ini adalah bertujuan untuk mewujudkan kerjasama strategik yang dapat memastikan keberkesanan pendidikan serta penyelidikan yang dijalankan. Melalui kerjasama ini, pihak fakulti bukan sahaja akan memacu kecemerlangan akademik, tetapi juga meningkatkan profesionalisme dalam pelbagai bidang.
Boardroom Pte Ltd adalah sebuah syarikat yang terkenal dengan perkhidmatan pentadbiran korporat yang komprehensif. Dengan pengalaman luas dalam pengurusan syarikat dan kewangan, kerjasama dengan Boardroom Pte Ltd akan membuka peluang besar kepada pelajar dan pensyarah UiTM untuk memahami dan menguasai amalan terbaik dalam pengurusan korporat. Kerjasama ini akan membantu melengkapkan pelajar FSPPP dengan pengetahuan dan kemahiran penting dalam dunia korporat yang dinamik.
Syarikat Melody Corporate House Sdn Bhd mempunyai kepakaran dalam penyediaan perkhidmatan profesional korporat dan penasihat kewangan. Kerjasama FSPPP bersama Melody Corporate House Sdn Bhd dilihat sebagai satu peluang untuk fakulti memperluas rangkaian kerjasama industri. Penglibatan Melody Corporate House Sdn Bhd dalam usaha ini akan memperkayakan pengalaman pembelajaran dan pengajaran staf dan pelajar FSPPP, khususnya dalam aspek pengurusan risiko. Ini akan membantu pihak fakulti melahirkan pelajar berkemahiran bagi pasaran kerja pada masa hadapan.
Kerjasama bersama The Future juga penting bagi pihak fakulti dan UiTM secara keseluruhannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokus kepada penyelidikan dan kajian masa depan, The Future dilihat akan membawa dimensi baru dalam kerjasama ini. Fokus The Future pada pemikiran masa depan dan inovasi strategik amat penting bagi pelajar dan pensyarah FSPPP. Kerjasama ini akan memupuk budaya inovasi dan pemikiran kritikal yang penting untuk menghadapi perubahan pesat dalam dunia moden.
Hubungan antara UiTM dan ketiga-tiga rakan industri ini dilihat sebagai satu strategi untuk membuka peluang perkongsian antara akademia dan industri secara komprehensif. Kerjasama ini dijangka membawa manfaat besar bukan sahaja kepada pelajar dan fakulti tetapi juga kepada masyarakat dan industri secara keseluruhannya.