“Moreh Bersama Insomniacks” Terima Lebih 3,000 Penyertaan Mahasiswa UiTM Shah Alam

Shah Alam, 11 April 2023 – Universal Music Malaysia dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam sesi 2022/2023 dan Kelab Media Komunikasi Siswa (MedComm Siswa) telah menganjurkan program “Moreh Bersama Insomniacks” bertempat di Dataran Cendekia, UiTM Shah Alam. Program ini melibatkan kumpulan muzik terkemuka negara, Insomniacks yang hadir bagi membuat persembahan dan menyampaikan sumbangan makanan kepada mahasiswa UiTM Shah Alam.

Program ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan apabila lebih 3,000 mahasiswa UiTM Shah Alam telah membanjiri Dataran Cendekia bagi menyaksikan persembahan Insomniacks. Kumpulan Insomniacks telah menyanyikan lagu mereka yang berjudul Igauan Malam, Reminisensi, Sempurna dan Pulang. Lagu Pulang merupakan lagu yang paling popular dibawakan oleh mereka kerana telah mencapai hampir 32 juta tontonan di YouTube.

Di samping itu, Universal Music Malaysia telah memberikan sumbangan makanan kepada mahasiswa UiTM yang hadir ke program ini iaitu nasi lemak dan Chatime. Program hiburan seperti ini sudah pasti dapat membantu para pelajar mengurangkan tekanan dan stres dalam bilik kuliah sekaligus dapat meningkatkan Index of Happiness dalam kalangan warga UiTM. Selain itu, program sebegini mampu meningkatkan jaringan antara pelajar dan industri luar seterusnya dapat meningkatkan visibiliti UiTM dengan industri hiburan di luar sana.