Mohammed Yahya Bawa Nama ACIS ke Persada Antarabangsa

SHAH ALAM, 30 JUN 2024 – Kejohanan Debat Bahasa Arab Antara Universiti Antarabangsa kali – ke 7 (The 7th International University Debate Championship-IUDC) telahpun melabuhkan tirainya. Kejohanan debat yang berprestij di peringkat antarabangsa yang berlangsung sepanjang 24-29 Mei 2024 ini telah di adakan di Doha, Qatar dengan menghimpunkan 100 kumpulan pendebat terhebat seluruh dunia. Selain daripada mengasah ketajaman Bahasa Arab para pendebat untuk mengeluarkan hujah berkait isu global, program ini turut menjadi medium silang budaya dengan meraikan kepelbagaian peserta.

ACIS amat berbangga apabila Mohammed Yahya Mohd Zakaria berjaya mewakili kontinjen debat Bahasa Arab UiTM bersama 3 orang lagi wakil daripada Akademi Pengajian Bahasa. UiTM telah berjaya melepasi pusingan saringan dan berjaya mewakili Malaysia seiring dengan pendebat daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM). Meskipun tidak berpeluang bersaing di peringkat akhir, bagi Mohammed Yahya dan pasukannya peluang yang hadir buat julung kali ini semestinya memberikan pengalaman yang pasti tidak akan pernah dilupakan seumur hidup.

Menariknya, kontinjen debat Malaysia berjaya memenangi beberapa siri saringan di IUDC Qatar di antaranya menentang pasukan debat daripada Mauritania dan Iraq. Saingan sengit turut diberikan bagi menghadapai pasukan daripada Iraq, Qatar, Palestin dan India. Mohammed Yahya turut berkata di samping berpeluang untuk bertemu dengan pendebat lain yang sebahagiannya merupakan penutur jati bahasa arab yang petah dalam berkata-kata, beliau semakin bersemangat dan sangat bermotivasi untuk mengasah kemahiran bahasa arabnya. ACIS mengucapkan tahniah dan syabas kepada Mohammed Yahya di atas kejayaan mengharumkan nama ACIS di peringkat antarabangsa. Semoga Mohammed Yahya akan kembali memberikan saingan yang lebih hebat di IUDC yang akan datang.