26 Ogos 2024, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan bangganya telah membentangkan inisiatif dan pencapaian institusi yang menyokong 10 Lonjakan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia (PTPTM 2022-2025) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya. Pembentangan ini telah diketuai oleh Prof. Datin Dr. Suzana, Timbalan Naib Canselor Akademik, mewakili Naib Canselor UiTM.
Pembentangan ini bertujuan untuk memberi pencerahan kepada pihak KPT mengenai inisiatif dan pencapaian UiTM, dengan setiap jabatan utama menyelaraskan usaha mereka kepada Lonjakan 10 KPT. Sepanjang tahun 2024, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) telah mencatat kejayaan yang ketara, dengan Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono dan Prof. Madya Dr. Basharuddin Abdul Hadi mewakili JHEP.
Pencapaian signifikan JHEP melibatkan tema Pembangunan Bakat Mahasiswa, yang telah memberi impak besar di peringkat nasional dan antarabangsa. Antara kejayaan yang dibentangkan adalah penyertaan pasukan Debat UiTM di peringkat antarabangsa, kejayaan pasukan Lawn Bowl Wanita yang meraih pingat emas dalam Kejohanan Dunia Berpasukan di Australia, serta aktiviti kesukarelawanan oleh pasukan UiTM di Mauritius.
UiTM melalui JHEP juga telah memperkenalkan Model Pemerkasaan Graduan UiTM (MPMU), yang menjadi rujukan utama dalam usaha menerapkan elemen pemerkasaan mahasiswa dalam setiap program, aktiviti, dan bengkel yang dilaksanakan di seluruh peringkat universiti. Model ini dirangka untuk menjawab cabaran dunia moden yang dikenali sebagai VUCA (volatility, uncertainty, complexity, and ambiguity), yang mencerminkan perubahan drastik dalam dunia masa kini.
Menurut Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), MPMU telah menjadi landasan bagi semua inisiatif dan program pembangunan pelajar yang dikendalikan oleh BHEP. Mahasiswa UiTM akan mendapat pengalaman pembelajaran holistik yang melibatkan penyertaan dalam program sukarelawan, penyelidikan, pertukaran pelajar antarabangsa, serta pembangunan diri yang menyeluruh. Pendedahan ini bukan sahaja memperluas pengalaman mahasiswa tetapi juga membuka pintu kepada peluang baharu pada masa hadapan.
MPMU ini sejajar dengan Lonjakan 10 yang pertama, iaitu Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang, yang memenuhi kehendak industri tempatan dan antarabangsa. Ia bertujuan melahirkan graduan yang lengkap dari segi sahsiah, intelek, patriotisme, dan daya saing.
Prof. Madya Dr. Alwi Mohd Yunus, Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar (IKP), menegaskan bahawa MPMU telah diselaraskan dengan visi PTPTM 2015-2025, agenda MADANI, ESI-iDART, Model Graduan UiTM, Pelan Strategik HEP 2020-2025, dan MQF2.0. Semua program dan modul pembangunan pelajar akan dipetakan kepada MPMU, memastikan pelaksanaan yang memenuhi kriteria dan matlamat holistik UiTM.
Melalui strategi ini, UiTM berharap dapat melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.
Penulis Utama:
Prof. Madya Dr. Alwi Mohd Yunus
Penulis Bersama:
Profesor Dr. Sazili Shahibi, Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Dr. Basharuddin Abdul Hadi, Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman