Mobiliti Pelajar Kejururawatan, FSK ke Universitas ‘Aisyah (UNISA) Bandung, Indonesia Sesi 2023/2024

Bandung, 6 September 2024 – Telah berlangsung dengan jayanya Program Mobiliti Pelajar UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam ke Universitas ‘Aisyiyah (UNISA) Bandung, Indonesia pada 1 hingga 6 September 2024. Program ini telah melibatkan seramai empat orang mahasiswa serta diiringi oleh dua orang pensyarah dari Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK). Program ini merupakan inisiatif untuk memberikan peluang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman pendidikan dan budaya di luar negara. Program ini juga dapat meningkatkan keterampilan, pengetahuan, dan pengalaman mahasiswa dalam suasana antarabangsa.

Pada hari pertama, ketibaan delegasi UiTM ke UNISA Bandung telah disambut dengan majlis pembukaan yang cukup meriah. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Indonesia Raya dan lagu Negaraku serta lantunan ayat suci Al-Quran sebagai pembuka majlis. Aktiviti kemudian diteruskan dengan sesi kuliah mengenai Islamic Spiritual Nursing Care dan Complementary Islamic Nursing Care oleh Puan Inggriane iaitu pensyarah kejururawatan di UNISA Bandung. Peserta juga diajar secara teori berkenaan Spiritual Emotional Freedom Technique (SEFT) dan Penilaian Rohani (Spiritual Assessment). Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada para peserta mengenai cara pelaksanaan Islamic Spiritual Nursing Care kepada pesakit. Seterusnya, aktiviti pada sebelah petang diteruskan dengan amali SEFT dan Spiritual Assessment. Para peserta berpeluang untuk mempraktikkan teknik SEFT dan Spiritual Assessment yang telah dipelajari. Spiritual Assessment ini adalah proses untuk memahami keperluan rohani, kepercayaan dan sumber pesakit, yang mungkin mempengaruhi kesihatan, mekanisme mengatasi dan kesejahteraan keseluruhan mereka.

Hari seterusnya, delegasi UiTM berpeluang untuk melawat ke Rumah Sakit Al-Islam, Bandung. Peserta dibawa melawat ke wad medikal-pembedahan dan Unit Rawatan Rapi Rumah Sakit Al-Islam, Bandung dan diperkenalkan dengan suasana serta cara setiap wad diuruskan oleh jururawat di sana. Peserta juga berkesempatan untuk bersoal jawab bersama Penyelia Jururawat Rumah Sakit Al-Islam untuk bertukar-tukar pendapat berkenaan suasana wad dan pengurusan hospital. Seusai lawatan ke rumah sakit, para peserta dibawa ke makmal OSCE untuk sesi perkongsian bersama pensyarah UNISA Bandung berkenaan SEFT dan rawatan bekam. Peserta diajar secara praktikal berkenaan prosedur tersebut dengan betul dan berkesan.

Selain itu, pada hari ketiga program, para peserta terlibat dalam aktiviti tanggungjawab sosial dan khidmat masyarakat di pusat jagaanwarga emas, Griya Lansia provinsi Jawa Barat. Ketibaan delegasi UiTM disambut baik dan meriah oleh kakitangan Griya Lansia. Majlis dimulai dengan ucapan oleh Ketua Griya Lansia, wakil dekan UNISA, dan wakil delegasi UiTM, Dr. Sharifah Shafinaz. Selepas ucapan, telah diadakan aktiviti zumba yang diketuai oleh pelajar dan pensyarah UiTM. Seterusnya, para peserta berkesempatan untuk mendengar cerita dan pengalaman daripada salah seorang penghuni Griya Lansia melalui sebuah sesi temu bual. Seterusnya, sesi lawatan ke kawasan Griya Lansia untuk melihat cara pengurusannya. Lawatan ini telah diketuai oleh ketua pengurusan Griya Lansia dan beliau serba sedikit memberikan informasi mengenai kawasan tersebut serta memperkenalkan pelbagai aktiviti yang dijalankan untuk penghuni yang menetap di kawasan itu. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti aktiviti kraf tangan, kesenian, kebudayaan serta keagamaan agar penghuni di situ kekal produktif walaupun umur semakin meningkat. Konsep yang diguna pakai di dalam Griya Lansia ini adalah konsep terbuka, kejiranan dan alam sekitar. Kawasan tersebut dilengkapi beberapa buah rumah yang didiami 5 atau 6 orang untuk satu rumah. Dalam kawasan itu juga terdapat sebuah pusat kesihatan yang dijaga oleh staf kesihatan dan sebuah masjid. Selain itu juga, orang-orang tua yang menetap disitu tidak terlalu dikongkong. Mereka bebas beraktiviti di seluruh kawasan Griya Lansia tanpa halangan seperti bersiar-siar, membuat kraftangan, atau bermain alat musik. Aktiviti pada petang hari pula, berlangsungnya sesi perkongsian yang disampaikan oleh Puan Suzana dan Dr. Sharifah dengan tajuk Quality of Nurses kepada mahasiswa keperawatan UNISA bandung. Sesi tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada mahasiswa UNISA.

Turut diadakan perjumpaan diantara Majlis Tertinggi Nursing Student Association (NUSA) UiTM Puncak Alam bersama Badan Eksekutif Mahasiswa UNISA Bandung pada hari terakhir program. Objektif perjumpaan ini adalah untuk berkongsi buah fikiran tentang pengurusan organisasi dan sekaligus merangka aktiviti-aktiviti yang berpotensi untuk diadakan secara kolaborasi pada masa akan datang. Selanjutnya dalam aktiviti pertukaran budaya, delegasi UiTM berpeluang untuk memperkenalkan permainan tradisional yang terdapat di Malaysia dan mengajarkan cara bermain batu seremban kepada mahasiswa UNISA Bandung. Aktiviti ini secara tidak langsung telah mewujudkan suasana yang harmoni dan merapatkan hubungan silaturahim antara mahasiswa. Seterusnya, salah satu aktiviti yang dinanti-nantikan adalah lawatan budaya ke Saung Angklung Udjo. Para peserta berpeluang menyaksikan pertunjukan Wayang Golek, persembahan tarian tradisional Indonesia seperti Tari Sinanggar Tulo, Tari Legong, dan Tari Topeng Koncaran. Selain itu, mereka turut mempelajari cara memainkan angklung. Justeru itu, lawatan ini membentuk generasi muda untuk lebih menghargai adat dan budaya.

Program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif utamanya, tetapi juga memberikan pengalaman yang berharga kepada para peserta dalam mengembangkan potensi mereka dengan persekitaran global. Dengan kejayaan program ini, diharapkan hubungan antara UiTM dan UNISA Bandung akan terus kukuh dan membawa kepada lebih banyak kerjasama di masa hadapan.