KOTA KINABALU, 19 Jun 2024 – ‘Mitatabang’ (Gotong – royong) Ibadah Qurban 2024 @ UiTM Cawangan Sabah telah dilaksanakan di padang berhampiran Arena Raflesia UiTM Sabah (ARUS), UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu. Ibadah qurban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah SWT. Allah memerintahkan hamba – hambanya untuk melakukan ibadah Qurban. Begitu juga firman Allah SWT:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (Ayat 2, Surah Al Kauthar, Al-Quran)
Melalui aktiviti kebersamaan yang meningkatkan indek kegembiraan warga UiTM Cawangan Sabah, seramai 128 petugas dari kalangan staf dan pelajar UiTM Cawangan Sabah dan telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil petugas iaitu kumpulan pendaftaran, penyembelihan, pemotongan, timbangan dan pembungkusan, pengagihan, penyediaan bahan mentah, memasak dan pembersihan.
Pada kali ini, UiTM Cawangan Sabah telah mendapat sumbangan 2 ekor lembu dari Yang Berhormat Datuk Ts Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi. Sebanyak 7 ekor lembu (5 ekor lembu adalah penyertaan staf dan keluarga staf) ditumbangkan dan di agihkan kepada warga UiTM Cawangan Sabah dan komuniti setempat. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kesemua petugas bermuafakat bersama dalam menyelesaikan tugasan sehingga selesai program pada jam 4.30 petang. Semoga program kali ini memberi kebaikan dan manfaat kepada semua yang terlibat.