Misi Salam Raya 2022 Universiti Teknologi MARA Menghantar 132 Pelajar Pulang Ke Kampung Halaman

SHAH ALAM, 30 APRIL 2022 – Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam sesi 2021/2022 bersama-sama dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar ,Unit Kenderaan UiTM Shah Alam & UiTM Cawangan Selangor serta Syarikat Bas Bintong Travel & Tours Sdn. Bhd. menghantar pelajar pulang ke kampung halaman melalui Misi Salam Raya 2022 bermula pada 27 April 2022 sehingga 30 April 2022 dengan objektif utama iaitu membawa pulang mahasiswa untuk pulang balik ke kampung sempena menyambut perayaan hari raya Aidil Fitri dan menjalinkan hubungan kerjasama dengan syarikat bas swasta Bintong Travel & Tour Sdn. Bhd.

Misi ini bermula dengan sesi penghantaran Mahasiswa Sabah & Sarawak ke KLIA dan KLIA2 serta pelajar semenanjung melalui kemudahan bas yang disediakan. Penghantaran mahasiswa ke lapangan terbang ini telah berlangsung selama 3 hari sehingga 29 April 2022. Manakala pada 30 April 2022, sesi penghantaran pelajar menggunakan bas ke setiap negeri telah berlangsung. Sebanyak 6 buah bas telah disediakan dengan melibat 132 pelajar ke 8 buah negeri. Bas berlepas daripada UiTM Shah Alam dan seterusnya ke UiTM Puncak Perdana serta UiTM Puncak Alam, dan akhirnya ke seluruh destinasi yang ditetapkan.

Sesi pelepasan telah diadakan pada jam 9.45 pagi oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Binti Mohd Janor, bersama-sama dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) YBhg. Prof. Dr Mohd Sazili Sahibi dan En Hafifi, Pegawai Khas YAB Perdana Menteri.

Datuk Naib Canselor berkata melalui misi salam raya ini bukan sahaja dapat membantu meringankan kos mahasiswa untuk pulang beraya di kampung halaman. malah dapat membantu pelajar yang tidak sempat membeli tiket dapat pulang menggunakan kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh pihak UiTM. Bagi pelajar yang memilih untuk terus tinggal di kampus, pihak UiTM akan terus menyantuni mereka sebaik mungkin agar suasana Aidilfitri turut diraikan bersama-sama.