MISI OPS BANJIR DI KELANTAN
9 – 11 Januari 2015
Sukarelawan UiTM Kampus Perubatan Sungai Buloh/Selayang dengan kekuatan seramai 27 orang terdiri daripada 21 lelaki dan 6 wanita telah bergerak ke UiTM Machang pada 9 Januari 2015.
Misi Kemanusiaan Bencana Banjir ini lebih tertumpu di Kg. Sungai Satan iaitu kampung angkat UiTM Kelantan yang merupakan tempat pertama menerima kesan banjir, Kg. Kemubu dan kawasan perkampungan Dabong, dalam Daerah Jeli Kelantan. 20 orang sukarelawan pelajar UiTM Kampus Kelantan turut membantu mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir.
Kawasan-kawasan ini merupakan antara tempat yang mengalami kerosakan teruk terutama kediaman mereka yang musnah sama sekali serta kemudahan awam termasuk stesen kereta api, sekolah, tadika, balai polis serta tempat permainan kanak-kanak. Bekalan air dan elektrik juga terputus. Penduduk terpaksa menggunakan segala sumber yang ada termasuk menadah air hujan untuk keperluan harian. Selain itu wabak penyakit juga sudah mula melanda terutama penyakit kulit, taun, tahap kesihatan kanak-kanak yang semakin teruk yang memungkinkan kes akan lebih cepat bertambah.
Penduduk menerima baik dan bersyukur dengan kehadiran sukarelawan ke tempat mereka dan sedikit sebanyak memberi kelegaan apabila menerima bantuan yang amat diperlukan terutama khemah, selimut, lampin pakai buang dan bahan mentah.
Misi kemanusiaan bencana banjir ini mendapat kerjasama dan bantuan penuh daripada Rektor UiTM Kelantan, Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Hilmi Bin Ab. Rahman.
Sukarelawan UiTM Kampus Perubatan Sungai Buloh/Selayang bersedia untuk turun padang sekali lagi sekiranya khidmat bakti mereka masih diperlukan.
Berita oleh:
ASP/PB Khairul Azman Bin Abu Bakar
Ketua
Pejabat Polis Bantuan,
Kampus Perubatan/ Pergigian UiTM Kampus Sg. Buloh,
Jalan Hospital, 47000 Sungai Buloh