Misi Kemanusiaan Masjid Al Muasyarah Padang Indonesia 2019

Mahasiswa UiTM Negeri Sembilan bantu bina Masjid Al-Musyarah

SEREMBAN, 18 Ogos (Bernama) — Seramai 30 pelajar Persatuan Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan akan berlepas ke Padang, Indonesia, esok, untuk menyertai Misi Kemanusiaan Masjid Al-Musyarah.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan Mohd Zulhilmi Mohd Yunus berkata program pertama berskala antarabangsa itu dianjurkan persatuan Islam UiTM Malaysia, bagi membaik pulih dan membina masjid tersebut untuk kegunaan masyarakat di sana.

Katanya program di Kampung Nagari Malalak Barat itu juga adalah bagi menyambut hasrat universiti untuk menjalankan sebuah program kesukarelawanan berskala antarabangsa selain membantu dan menyelesaikan masalah penduduk yang terjejas dan golongan memerlukan.

“Ia juga bagi memenuhi impian masyarakat di sana agar sebuah masjid yang sedia ada dapat dibaik pulih. Selain membantu membina masjid tersebut, mahasiswa ini juga akan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di kawasan berkenaan.

“Selain itu, misi kemanusiaan ini akan membawa sumbangan yang telah dikumpulkan dalam tempoh satu bulan setengah untuk disalurkan kepada Jawatankuasa Masjid berkenaan bagi kegunaan penduduk di kampung tersebut,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Mohd Zulhilmi berkata pihak Persatuan Intellectual Student Affairs (i-Saf) telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM23,000 bagi memastikan masjid tersebut siap sepenuhnya.

“Sebelum ini masjid itu dibiayai sendiri oleh penduduk kampung di sana yang hampir lima tahun sudah terbengkalai. Jadi kunjungan pelajar UiTM ini memastikan masjid itu 100 peratus siap sepenuhnya.

“Ia selaras dengan hasrat UiTM untuk memastikan graduan terunggul bertaraf dunia di mana bukan sahaja pelajar ini menimba ilmu di kuliah tetapi membangunkan kemahiran kepimpinan mereka melalui penyelesaian masalah masyarakat di luar sana,” katanya.

Pengarah program Mohamed Aiman Shah Johan Shah berkata beliau terpanggil untuk menyertai misi kemanusiaan tersebut bagi membantu meringankan beban saudara Islam di sana yang memerlukan bantuan dari segi dana untuk membaik pulih masjid.

“Ini adalah kali pertama saya terlibat dalam misi kemanusiaan di luar negara dan harap dengan kehadiran kami ke sana dapat menyempurnakan misi kami bagi memastikan masjid ini berjaya siap sepenuhnya,” katanya.

Misi sukarelawan yang bermula esok sehingga Khamis ini merupakan program anjuran Intellectual Students Affairs (I-Saf) UiTM Kampus Seremban dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (HEI) UiTM Kampus Seremban, Persatuan Art Deen UiTM Kampus Seremban, Persatuan Pembangunan Mahasiswa Islam UiTM Kampus Rembau dan Persatuan Pembangunan Insan UiTM Kuala Pilah.

Misi tersebut juga akan disertai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Negeri Sembilan, Prof. Madya Dr Abdul Halim Ramli dan Penolong Rektor UiTM Kampus Seremban, Prof. Madya Mohammad Nor Othman. — BERNAMA

Sumber: http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1758183#.XVnETserO8a.whatsapp

0
0