Jawatankuasa Perwakilan Kolej Dahlia Sesi 2023/2024 telah berjaya menganjurkan program Misi Cadamba by Dahlia pada 6 Januari 2024, bertempat di Bukit Cadamba, UiTM Kampus Puncak Alam. Program yang julung kali dianjurkan ini telah menarik minat lebih 152 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Kolej Dahlia dan Kolej-kolej Kediaman lain serta barisan Staf Residen Kolej.
Program ini dianjurkan dengan bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar. Malah, mengambil pendekatan meneroka khazanah alam yang tersorok di Kampus Puncak Alam, program ini turut membawa inisiatif dengan menekankan aspek kesihatan mental yang unggul dalam kalangan pelajar menjelang peperiksaan akhir yang bakal tiba. Program yang mendapat kerjasama dan sokongan daripada beberapa jabatan di UiTM Kampus Puncak Alam seperti Pejabat Polis Bantuan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Unit Kesihatan, Persatuan Outdoor Recreation Education Leader (TRAINER) UiTM, Fakulti Pendidikan dan Bulan Sabit Merah Cabang UiTM Kampus Puncak Alam ini telah menarik minat peserta sejak awal pendaftaran dibuka.
Program ini telah dimulai dengan senaman zumba oleh pelajar Fakulti Pendidikan ini kemudiannya memulakan pendakian selama dua (2) jam yang diketuai oleh jurulatih pelajar dari Persatuan Outdoor Recreation Education Leader (TRAINER) UiTM. Menurut peserta, mereka ternyata sangat kagum dengan keindahan hutan yang ada di Kampus Puncak Alam dan hampir tidak mempercayai kewujudannya di sebalik pembangunan kampus yang sangat pesat dan membangun di sini. Malah, mereka turut menggambarkan rasa gembira dan teruja di akhir pendakian.
Program sebegini dijangka untuk diadakan secara berkala di masa yang akan datang dengan lebih banyak penyertaan dari pelajar UiTM Kampus Puncak Alam sebagai usaha mempromosikan keindahan flora dan fauna yang terjaga rapi di Kampus ini. Malah, penganjuran program riadah sebegini ternyata dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menelusuri pengalaman belajar di universiti.