LAMBOR, 10 Oktober 2023 – Pada 5 Ogos 2023, Jawatankuasa Misi Akademik Universiti Teknologi MARA, kampus Seri Iskandar telah dijemput ke Pameran Inovasi dan Teknologi sempena minggu STEM bertempat di SMK Lambor Kiri,Perak. Objektif utama program Misi Akademik ini adalah untuk mempromosikan UiTM secara berterusan dan memberi pendedahan terperinci berkenaan program-program dan syarat-syarat am kemasukan ke UiTM kepada para pelajar sekolah diseluruh Malaysia. Secara khususnya, program Misi Akademik kali ini, lebih memfokuskan kepada program-program yang ditawarkan di kampus UiTM Seri Iskandar terutamanya program-program dari Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) dan Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi (JBAT) FSPU.
Pameran Inovasi dan Teknologi ini di anjurkan oleh Sekolah Menengah Lambor kiri yang bermula jam 9.00am hingga 2.00pm dengan pelbagai pengisian seperti pameran dan pertandingan inovasi dikalangan pelajar. Program Misi Akademik ini juga diselitkan dengan perkongsian dan pendedahan mengenai lima program diploma yang ditawarkan di Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Cawangan Perak, Seri Iskandar, iaitu Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital, Diploma Seni Halus, Diploma Seni Reka Fesyen, Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif dan Diploma Seni Reka Seramik serta sembilan program di Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi (JBAT) FSPU iaitu Diploma Seni Bina, Diploma Bangunan, Diploma Ukur Bangunan, Diploma Pengurusan Hartanah, Diploma Seni Reka Dalaman, Diploma Pembangunan Lanskap, Diploma In Quantity Surveying, dan Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah.
Melalui program Misi Akademik ini, semua bakal calon diberikan pendedahan awal supaya mereka dapat membuat persediaan terhadap apa yang telah mereka sasarkan dalam pelajaran dan dapat memberi gambaran dan panduan dalam pemilihan kursus-kursus yang menepati minat dan kecenderungan mereka. Selain itu, bakal calon juga boleh mengetahui secara khusus tentang aliran akademik yang ditawarkan di kampus Perak mahupun di kampus-kampus cawangan UiTM diseluruh negara. Program ini juga dapat menjawab dan merungkai pelbagai persoalan-persoalan berbangkit, baik dari kalangan pelajar mahupun guru-guru sekolah, yang selalunya berkaitan syarat-syarat kemasukan ke IPTA khususnya permohonan kemasukan ke UiTM. Dalam program ini juga, calon-calon dinasihatkan agar mengisi maklumat SPM serta maklumat peribadi yang diperlukan dengan betul dan lengkap supaya permohonan yang dihantar adalah lengkap dan tidak ditolak kerana kesilapan teknikal. Setiap penerangan berkaitan program-program ini, dilengkapi dengan risalah-risalah informasi lengkap yang disediakan oleh pihak Hal Ehwal Akademik UiTM.
Program Misi Akademik, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak ini adalah langkah efektif dan bersasar yang akan diteruskan dari masa ke semasa bagi mendekati pelajar disetiap pelusuk negeri bagi memastikan segala maklumat dapat disalurkan secara terus dan tepat. Semoga jalinan kerjasama diantara Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak dengan pihak-pihak sekolah, mahupun Jabatan Pendidikan Negeri Perak dapat diperkukuhkan lagi dengan penganjuran pelbagai program-program seperti ini.
Laporan disediakan oleh Ahmad Khairul Azizi Bin Ahmad, pensyarah, Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, KPSK UiTM Perak, pengarang bersama Ashraf Bin Abdul Rahaman, pensyarah, Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, KPSK UiTM Perak.
khairulazizi@uitm.edu.my
ashra769@uitm.edu.my