Misi Akademik UiTM Cawangan Negeri Sembilan Bersama Pelajar-Pelajar Orang Asli Lepasan SPM 2023

6 Jun 2024 – Pasukan Misi Akademik UiTM Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS) telah terlibat dalam Program Hala Tuju Pelajar Orang Asli Tahun 2024 Untuk Pelajar Lepasan SPM Peringkat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan dan Melaka bertempat di English Language Teaching Center (ELTC), Bandar Enstek Negeri Sembilan.

Objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberi panduan kepada hampir 100 orang pelajar Orang Asli daripada seluruh Negeri Sembilan dan Melaka berkenaan halatuju pendidikan selepas SPM. Program ini telah bermula seawal jam 9.00 pagi dengan ucapan aluan daripada Pengarah JAKOA Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Pn. Shahrani binti Idderis. Seterusnya, majlis diteruskan dengan sesi taklimat daripada wakil Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (UPU). Dalam sesi taklimat ini, para pelajar telah diberi penerangan berkenaan dengan tatacara permohonan dan pengemaskinian permohonan bagi melanjutkan pengajian ke IPTA melalui sistem UPU online. Di samping itu, pihak penganjur juga turut menyediakan kemudahan komputer riba dan internet bagi memudahkan para pelajar melengkapkan borang permohonan UPU secara atas talian.

Selain itu, terdapat juga taklimat daripada wakil setiap agensi dan institusi pengajian tinggi seperti Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan, Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sesi taklimat daripada UiTM telah disampaikan oleh Koordinator Pra Siswazah UiTM Cawangan Negeri Sembilan iaitu Pn. Siti Noriah Mohd Shotor yang telah menerangkan secara ringkas peluang-peluang pengajian yang ditawarkan di UiTM seperti program Asasi, Diploma dan Pra Diploma. Di samping itu, UiTMCNS turut membuka reruai pameran bagi memberi khidmat konsultansi kepada para pengunjung yang ingin bertanya dengan lebih lanjut berkenaan syarat-syarat kemasukan ke program-program akademik di UiTM. 

Bagi program Pra Diploma UiTM, penubuhan program ini adalah bertujuan untuk memberi peluang pendidikan kepada anak-anak Melayu, Orang Asli dan Anak Negeri Sabah/Sarawak di bandar mahu pun luar bandar. Untuk pelajar Orang Asli, mereka layak untuk memohon mana-mana program Pra Diploma yang ditawarkan, bersesuaian dengan keputusan SPM pemohon menggunakan laluan khas bagi kategori Orang Asli. Untuk pelajar Orang Asli yang terpilih melanjutkan pengajian ke program Pra Diploma UiTM, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan membantu calon melalui tajaan melibatkan yuran pengajian, yuran kolej dan elaun sara hidup.

Sepanjang program berlangsung, terdapat sebahagian pelajar Orang Asli telah mengunjungi reruai pameran UiTM untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan peluang pendidikan berdasarkan kepada keputusan SPM mereka. Malah, mereka turut mempamerkan kesungguhan yang tinggi dalam memahami setiap syarat kelayakan ke program-program akademik yang mereka minati dan juga potensi peluang pekerjaan yang boleh didapati berdasarkan pilihan kursus mereka.

Sebagai penutup, program Hala Tuju Pelajar Orang Asli Tahun 2024 ini diharapkan dapat membuka jalan dan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar Orang Asli untuk terus mengejar impian, di samping mengubah destini mereka melalui bidang pendidikan. Kerjasama erat antara UiTM Cawangan Negeri Sembilan, pihak JAKOA, serta agensi-agensi pendidikan yang terlibat membuktikan komitmen semua pihak dalam memastikan setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mencapai kejayaan. Semoga program ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang demi masa depan yang lebih cerah bagi generasi muda Orang Asli.