Pada 4 Jun 2024 yang lalu, telah berlangsung Misi Akademik UiTM Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS) bersama dengan barisan pelapis atlet kebangsaan bertempat di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, anjuran Malaysian Athlete Career Education (MACE). Seramai 15 orang atlet kebangsaan lepasan SPM yang mewakili negara dalam pelbagai sukan seperti bola sepak, akuatik terjun, berbasikal, memanah, menembak, tenpin boling dan taekwondo telah hadir bagi mengikuti sesi taklimat berkenaan dengan peluang-peluang pengajian yang ditawarkan di UiTM, khususnya program-program diploma di bawah kendalian Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, serta program Pra Diploma UiTM untuk kategori laluan atlet.
Untuk slot yang pertama, para atlet telah mendengar perkongsian daripada salah seorang staf akademik Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban, iaitu En. Razif Sazali, berkenaan dengan pengalaman peribadi beliau melanjutkan pengajian di UiTM selepas berkecimpung secara aktif sebagai salah seorang atlet kebangsaan dalam sukan tenpin boling. En. Razif turut memberi galakan dan motivasi kepada para atlet untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, bagi memastikan negara kita dapat melahirkan golongan atlet yang profesional dan berpengetahuan tinggi serta mendukung dasar misi “Thinking Athlete” oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Usaha dalam misi ini adalah untuk mensasarkan atlet kebangsaan yang juga terlibat sebagai atlet institusi pengajian tinggi (IPT) untuk terus meningkatkan prestasi serta pencapaian dalam sukan negara di samping mempunyai peluang melanjutkan pelajaran di peringkat IPT. Secara tidak langsung, usaha ini dapat melahirkan lebih ramai atlet universiti untuk mewakili Malaysia pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) dan Sukan Universiti Dunia (Universiade).
Di samping itu, En. Razif turut memberi penerangan dan mempromosikan kepada para atlet, dua buah program diploma yang ditawarkan oleh Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), iaitu program Diploma Pengajian Sukan (SR113) dan Diploma Pengurusan Sukan (SR111). Program diploma di UiTM ini menawarkan pelbagai kebaikan kepada atlet kebangsaan. Ianya direka khusus untuk menyokong pembangunan holistik atlet, meliputi aspek akademik, kemahiran sukan, dan profesionalisme. Dalam masa yang sama, atlet tersebut dapat meningkatkan kemahiran dalam sukan melalui program pendidikan di FSR.
- Diploma Pengajian Sukan (SR113) menyediakan latihan intensif dan bimbingan dengan mengaplikasikan keperluan sains sukan untuk membantu para atlet dalam meningkatkan kemahiran teknikal, taktikal, kejurulatihan dan penggunaan teknologi dalam melonjakkan prestasi sukan mereka.
- Diploma Pengurusan Sukan (SR111) pula menyediakan atlet untuk mendalami aspek pengurusan acara sukan, logistik, dan pengurusan pasukan yang amat penting untuk kerjaya dalam industri sukan. Dalam masa yang sama, para atlet juga dapat mengaplikasikan ilmu dalam pelbagai bidang pengurusan sukan antaranya pemasaran, teknologi media, pengurusan acara yang dapat membentuk generasi atlet yang merupakan pelapis bagi badan-badan pengurusan sukan di tanah air.
Secara amnya juga, program-program ini menawarkan asas akademik yang kukuh dalam bidang sukan serta membuka peluang kepada atlet untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, selain mempunyai prospek kerjaya dalam industri sukan termasuklah pengurusan sukan, kejurulatihan, dan perundingan sukan. Tambahan pula, program ini sering melibatkan kerjasama dengan badan sukan kebangsaan dan antarabangsa dan memberi peluang kepada atlet untuk mendapatkan pengalaman praktikal dan pengiktirafan dalam bidang sukan yang mereka ceburi.
Sesi perkongsian seterusnya telah disambung oleh Pn. Siti Noriah Mohd Shotor yang merupakan Koordinator Pra Siswazah UiTMCNS. Pn. Noriah telah menerangkan secara terperinci tentang program Pra Diploma UiTM, yang mana terdapat laluan khas bagi kategori atlet iaitu program Pra Diploma Perdagangan di mana pemohon yang layak memohon mestilah berketurunan Melayu/orang Asli/anak negeri Sabah/Sarawak yang mempunyai penglibatan cemerlang dalam bidang sukan, sekurang-kurangnya di peringkat Negeri. Para pelajar yang mengikuti pengajian Pra Diploma Perdagangan kategori laluan atlet ini akan ditempatkan di kampus Puncak Alam, dan akan menggunakan fasiliti sukan di Unit Sukan, UiTM Shah Alam.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Malaysian Athlete Career Education (MACE) iaitu Datuk Shalin Zulkifli, yang juga merupakan salah seorang lagenda dalam sukan boling di negara Malaysia. Datuk Shalin turut memberi semangat dan galakan kepada para atlet untuk mengambil peluang yang disediakan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang telah menyediakan pelbagai biasiswa khas untuk atlet-atlet kebangsaan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi pendedahan kepada barisan atlet tentang peluang pengajian yang ada ditawarkan di UiTM, seterusnya mendukung matlamat universiti untuk menjadi Globally Renowned University (GRU) pada tahun 2025. UiTM juga sentiasa komited dalam melahirkan golongan atlet berprestasi tinggi yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi turut mengharumkan nama Malaysia dan UiTM di mata dunia melalui pencapaian sukan dalam kejohanan-kejohanan berprestij.