Misi Aidiladha UiTM – Asas Di Bumi Kemboja

Pada 8 – 11 Julai 2022, Kolej Kediaman Perindu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menjalankan program ibadah korban dan misi kemanusiaan yang di beri nama Eidul Adha Mission (EAM) 2022 bertempat di Wilayah Kompong Chhnang, Kemboja. EAM 2022 kali ini melibatkan sukarelawan daripada UiTM Shah Alam dan Petronas RAPID Pengerang bersama pihak penganjur utama daripada NGO Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera (ASAS).

Tahun ini sumbangan korban lembu adalah sebanyak 50 ekor dan kambing sebanyak 16 ekor. Para NGO ASAS dan para sukarelawan amat bersyukur di atas keprihatinan rakyat Malaysia yang sudi menyumbang bagi ibadah korban pada tahun ini. Saudara Fareez Daniel (Pengarah EAM 2022) berkata program korban sebelum ini juga turut dilaksanakan pada tahun 2021 walaupun tanpa kehadiran sukarewalan Malaysia di Kemboja oleh kerana sekatan perjalanan antarabangsa akibat dari penularan wabak Covid-19 ketika itu. Namun, ASAS dan UiTM tetap meneruskan ibadah korban yang di uruskan oleh Ustaz Hashim dan rakan – rakan di Kemboja.

Menurut Puan Siti Noraishah binti Tan Sri SM Salim (Presiden ASAS) berkata agihan daging korban pada tahun ini akan diagihkan kepada penduduk muslim dari kampung-kampung di Wilayah Kompong Chhnang, Kemboja yang terdiri daripada fakir miskin, ibu tunggal dan muallaf. Sebelum menjalani ibadah korban, para sukarelawan telah mengikuti Kursus Ibadah Korban dan Akikah Bersama imam – imam masjid sekitar Wilayah tersebut. Kursus tersebut telah di sampaikan oleh Ustaz Ashraf yang merupakan sukarelawan ASAS dan di bantu oleh Ustaz Hashim. Sukarelawan UiTM juga berpeluang merasai pengalaman membuat sembelihan lembu korban mengikut panduan yang telah dipelajari semasa kursus.

Selain itu, Saudara Hanafi Hanizan, YDP Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Kediaman Perindu UiTM) berkata tujuan sukarelawan UiTM mengikuti EAM kali ini adalah utuk mempelajari tentang pengurusan program dan aktiviti yang di laksanakan oleh NGO ASAS di kemboja. Oleh kerana NGO ASAS berpengalaman lebih 20 tahun menguruskan program kemanusiaan dan kesukarelawanan di sana. Justeru Kolej Kediaman Perindu, BHEP UiTM Shah Alam akan kembali ke Kemboja dan Vietnam bagi Misi Kesukarelawanan dan kemanusiaan pada 18 – 25 September 2022.

Misi yang di beri nama ASEAN Sustainable Community Development (ASCD) 2022 to Cambodia and Vietnam ini akan dijalankan bertujuan untuk memberi bantuan secara sukarela kepada masyarakat yang tinggal di beberapa buah kampung di wilayah tersebut dari segi peningkatan tahap infrastruktur, perkembangan pendidikan, peningkatan taraf kesihatan dan ekonomi serta persekitaran di sana. Melalui misi ini, bantuan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia dapat disalurkan secara terus kepada masyarakat setempat di sana yang memerlukan.

Di antara projek yang akan dijalankan ialah seperti pembinaan pusat pendidikan dan menaiktaraf masjid dan surau, pemasangan pam air untuk keperluan air bersih kepada penduduk kampung, sumbangan basikal kepada setiap keluarga bagi kegunaan ke sekolah, pemeriksaan kesihatan dan program khatan, projek keusahawanan bagi membantu ekonomi golongan wanita dan ibu tunggal, sesi pengajaran dan pembelajaran berkaitan subjek-subjek seperti Pendidikan Islam, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dan agihan barangan keperluan asas seperti beras, biskut, gula, tepung dan sebagainya.

Program ini juga mampu melatih para mahasiswa untuk menjadi sukarelawan yang mampu memimpin dan mengetahui isu-isu dan perkembangan dunia serantau sebagai persediaan menjadi pemimpin negara suatu hari nanti. Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan yang ditimba, para sukarelawan akan berkongsi kepada rakan-rakan mahasiswa yang lain apabila pulang nanti dan lebih bersemangat untuk membantu komuniti di sekitar mereka.