MISA Smart Circle (MSC) 2024

Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) Sesi 2023/2024, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam telah mengadakan program anjuran tahunan iaitu program MISA Smart Circle 2024. Program ini dijalankan selama tiga minggu sepanjang bulan Ramadan iaitu pada 21 dan 29 Mac seterusnya pada 4 April 2024 melalui platform Google Meet. Program ini telah disertai oleh semua pelajar MISA dan staf Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan yang beragama Islam.

Matlamat program ini adalah untuk menambah kefahaman pelajar tentang ilmu agama di samping mendedahkan para pelajar terhadap ilmu akidah dengan lebih mendalam melalui tadarus, tafsir Al-Quran dan usrah yang dijalankan. Justeru itu, melalui program ini juga ukhuwah dan silaturrahim antara para pelajar dan pensyarah Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan dapat dieratkan.

Pada 21 Mac 2024, surah yang dibaca dan diterjemahkan adalah Surah Al-Baqarah ayat 182 -187. Topik-topik yang dibentangkan adalah berlainan mengikut semester. Antara topik yang disampaikan adalah Ramadan Produktif, Amalan Utama Bulan Ramadan, Sedekah di Bulan Ramadan, Puasa Sama, Pahala Berbeza, Ramadan Madrasah Al-Quran dan Keistimewaan Ramadan.

Pada 29 Mac 2024, surah yang dibaca dan diterjemahkan adalah Surah Al-Baqarah ayat 195 – 200. Topik yang disampaikan pula adalah Salafussoleh di Bulan Ramadan, Mencari Lailatul Qadar, Ramadan Bulan Kesabaran, Keuzuran Ketika Puasa, Berbuka dan Adab Makan serta Keutamaan dan Manfaat Solat Terawih.

Pada 4 April 2024, surah yang dibaca dan diterjemahkan adalah Surah Ali ‘Imran ayat 146 – 152. Manakala topik yang dipilih bagi sesi terakhir ini adalah 10 Ramadan Terakhir, Adab Berziarah Di Hari Raya, Keistimewaan Lailatul Qadar, Sah Ke Puasa?, Istiqamah Setelah Ramadan dan Peristiwa Nuzul Quran.

Secara keseluruhannya, program MISA Smart Circle 2024 merupakan inisiatif yang sangat bernilai bagi semua pelajar Pengimejan Perubatan. Program ini dapat melahirkan pelajar yang mahir berkomunikasi di khalayak ramai bersesusaian dengan matlamat UiTM untuk melahirkan mahasiswa/i yang berani serta berkepimpinan. Selain itu, program ini dapat mendedahkan para pelajar berkaitan ilmu agama dengan lebih luas dan mendalam sekaligus melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek spiritual dan intelektual.