TAPAH. 6 JUN 2024 – Persatuan pelajar di bawah Fakulti Sains Gunaan, Universti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Kampus Tapah atau dikenali sebagai Persatuan Applied Science Tapah (ASeT) telah menganjurkan program ‘Mini Science Festival’ di Sekolah Kebangsaan Tapah, Perak. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal dan memupuk minat pelajar sekolah dalam bidang sains dan teknologi melalui eksperimen sains. Selain daripada mengetengahkan pengaplikasian konsep ilmu STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) kepada pelajar dalam kehidupan seharian, program seperti ini juga dapat mewujudkan jaringan industri pintar antara pihak universiti dan komuniti.
Lebih 60 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Tapah dari peringkat pra-Sekolah sehingga Tahap 1 menyertai program ini dibawah bimbingan 38 orang para pelajar persatuan ASeT, UiTM Tapah. Para mahasiswa yang terlibat adalah dari kursus Diploma Sains yang bertindak sebagai fasilitator. Aktiviti dimulakan dengan para pelajar sekolah telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan bergerak ke stesyen-stesyen eksperimen untuk menjalankan aktiviti eksperimen sains sambil dibantu oleh pihak fasilitator. Antara eksperimen sains yang dijalankan ialah colour-changing invisible ink, sticky ice experiment, water walking, magic milk, pencil through a bag of water, blow up a balloon without blowing dan lain-lain. Acara kemuncak ialah demonstrasi eksperimen elephant toothpaste dan bubble fire oleh pelajar Persatuan ASeT yang dilihat sangat menarik minat warga Sekolah Kebangsaan Tapah. Rata-rata pelajar sekolah dan guru-guru memberikan komen positif dan mahukan program seperti ini dianjurkan lagi.
Melalui program ini, para pelajar sekolah dapat meneroka dan mengaplikasi ilmu sains dengan lebih dekat melalui aktiviti eksperimen sains yang mudah. Ilmu sains juga bukan sekadar pengetahuan tetapi proses sains itu berlaku di dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari. Secara tidak langsung, ilmu sains dapat diterapkan dalam diri para pelajar sejak dari awal lagi seiring dengan usaha untuk menangani masalah pelajar yang kurang minat terhadap sains di peringkat lebih tinggi. Hal ini akan memberi kesan kepada negara dalam bidang industri dan teknologi pada masa akan datang. Selain itu, kepakaran mahasiswa dalam bidang sains juga dapat disalurkan kepada komuniti sekolah dengan cara yang lebih menarik melalui aktiviti eksperimen yang dijalankan secara realisitik.
Penulis : Nur Nadirah Rodzali, Nurul Aiman Nor Azizan, Muhammad Mifzal Hafiz Ruslan.