Minggu Penyelidikan Dan Inovasi 2022 (Engineering Research And Innovation Week 2022): Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi Mara

SHAH ALAM, 10 NOVEMBER 2022 – Program Minggu Penyelidikan dan Inovasi Kejuruteraan (ERIW2022) anjuran Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) telah diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di mana matlamat utama program ini adalah untuk mengukuhkan kerjasama penyelidikan antara industri dan agensi kerajaan bersama para penyelidik di Kolej Pengajian Kejuruteraan. Program yang julung kali diadakan ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hussaini Omar, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi.

Program ERIW2022 ini memberi peluang baharu untuk kolaborasi dalam bidang pengajian yang merangkumi empat bidang kejuruteraan, di samping memenuhi keperluan Rangka Kerja 10 – 10 MySTIE yang menggabungkan pemacu S&T dan sosio-ekonomi untuk memacu pembangunan negara. Program ini juga merupakan suatu platform pertemuan untuk saintis, jurutera dan ahli akademik daripada institusi penyelidikan, pendidikan tinggi dan industri untuk membincangkan penemuan terkini dalam konteks kelestarian global.
Program ERIW2022 ini termasuk penyampaian produk oleh penyelidik yang mempersembahkan produk yang berpotensi untuk dikomersialkan kepada industri. Minggu ERIW2022 juga bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara penyelidik, industri, agensi, dan sektor swasta melalui sesi meja bulat semasa program padanan Penyelidikan Akademik-Penglibatan Industri.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, beliau menyatakan bagaimana perkongsian akademik-industri ini memainkan peranan penting dalam memajukan penyelidikan dan mewujudkan tenaga kerja mahir. “Program ini menjadi titik permulaan sesi bertemu sua bersama ahli-ahli sains, jurutera dan ahli akademik dari institusi penyelidikan, institusi pengajian tinggi serta industri bagi membincangkan penemuan penemuan terkini dalam konteks kelestarian global.”

“Selaras dengan aspirasi negara untuk meningkatkan penyelidikan dan pembangunan di negara kita, penerokaan ilmu baru telah menjadi salah satu agenda utama negara. Justeru, UiTM secara proaktif telah memulakan program dan acara yang akan menggalakkan penyelidikan berimpak tinggi yang merangkumi pelbagai bidang kepakaran dalam bidang kejuruteraan,” ujar beliau.

Hasil utama yang diharapkan daripada program ini adalah perolehan idea-idea baru yang boleh dibangunkan secara kolaboratif bersama industri, di samping memberi peluang kepada penyelidik untuk membentangkan penemuan terkini, produk, Entiti Kecemerlangan (EK) dan Research Interest Group (RIG) di dalam bidang penyelidikan masing-masing yang mencetus kepada pontesi kolaborasi dan dana penyelidikan.