Langkawi, 7-10 Jun 2024 – Langkawi Tourism Academy @ Kolej Komuniti Langkawi telah menjadi tuan rumah kepada Majlis Pemantapan Organisasi (MPO) yang berlangsung dari 7 hingga 10 Jun 2024. Program ini bertujuan melatih dan memberi panduan kepada Ahli Jawatankuasa Dalaman Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang UiTM Selangor (Kampus Shah Alam) dalam aspek tadbir urus dan pengurusan yang cekap dan berkesan.
Selain itu, MPO juga bertujuan mewujudkan kolaborasi dan kerjasama antara persatuan dalam UiTM dan organisasi luar bagi menaikkan nama UiTM di seluruh Malaysia, serta menerapkan kepentingan sifat kemanusiaan dalam kalangan pelajar universiti, khususnya ahli-ahli BSMM. Program ini memberi peluang kepada ahli untuk mengemukakan pendapat dan berkongsi idea bagi menambahbaik persatuan dari segi pengisian program dan organisasi.
MPO direka khusus untuk ahli jawatankuasa baharu, dengan objektif membentuk sikap kerjasama, membina hubungan silaturahim, dan mempromosikan UiTM sebagai universiti yang menyokong mahasiswa. Ia juga bertujuan mewujudkan kolaborasi antara persatuan dalaman UiTM dan organisasi luar, serta menerapkan sifat kemanusiaan dalam kalangan pelajar.
Seramai 60 peserta, 7 jurulatih, termasuk penasihat program, Puan Maznah binti Abdul Jalil, serta penasihat persatuan, Tuan Affende bin Zaini, terlibat dalam program yang merangkumi latihan kumpulan dan aktiviti luar untuk mengasah bakat kepimpinan dan memupuk sifat positif, toleransi, dan peka terhadap keadaan sekeliling. MPO membantu melahirkan graduan yang berdaya saing, masyarakat bertoleransi, dan pemimpin berkaliber.