Mewujudkan Persekitaran yang Selamat Di Kolej Kediaman

Persekitaran kampus yang selamat menjadi keutamaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam memastikan kesejahteraan setiap warganya. Bagi mencapai matlamat ini, Kolej Zamrud Baiduri, UiTM Cawangan Selangor (USC), Kampus Puncak Alam telah menganjurkan Program Taklimat Keselamatan dan Pengungsian Bangunan dengan jayanya baru-baru ini. Sebagai salah satu program wajib di dalam takwim aktiviti kolej, program ini mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya, konsesi (BMES Maintenance Services Sdn. Bhd.), Bahagian Pengurusan Fasiliti UCS, Unit Pengurusan Kolej Zamrud Baiduri dan juga para penghuni kolej.

Pelaksanaan aktiviti pengungsian bangunan ini dijalankan mengikut tatacara dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan objektif latihan tercapai. Tujuan utama aktiviti dan latihan ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada para penghuni tentang tatacara aspek keselamatan sekiranya berlaku situasi kecemasan. Selain itu, pihak Bomba juga mengadakan demonstrasi pemadaman kebakaran bagi menunjukkan tatacara menggunakan peralatan pencegahan dan pemadaman kebakaran seperti alat pemadam api dengan betul.

Di akhir program ini, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya memuji initiatif yang diambil oleh pihak pengurusan kolej bersama-sama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPK) Kolej Zamrud Baiduri yang telah mengadakan latihan ini bagi memastikan setiap penghuni kolej sentiasa bersedia dan mempunyai pengetahuan asas berkaitan keselamatan. Semoga dengan adanya program dan latihan ini dapat memberi pendedahan supaya para penghuni dapat mempersiapkan diri sekiranya berlaku sebarang kebakaran dan insiden luar jangka di masa hadapan.