11-13 Ogos 2024, Dungun, UiTM Cawangan Terengganu – Mesyuarat penting antara Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNCHEP) UiTM bersama Dekan/Timbalan Rektor/Timbalan Dekan BHEP UiTM ke-42 telah diadakan di Kampus Dungun, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBhg Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNCHEP) UiTM dan turut dihadiri oleh para pemimpin utama dalam pengurusan Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dari seluruh negara.
Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat ini termasuklah Pemerkasaan Mahasiswa UiTM, di mana fokus diberikan kepada strategi-strategi untuk memperkukuhkan peranan mahasiswa dalam pembangunan universiti. Perbincangan turut merangkumi persiapan untuk Minggu Destini Siswa bagi Sesi Oktober 2024, yang merupakan salah satu acara penting dalam menyambut kemasukan pelajar baharu ke UiTM.
Selain itu, mesyuarat juga membincangkan Petunjuk Prestasi BHEP bagi suku kedua tahun 2024, di mana pencapaian dan cabaran semasa dinilai untuk memastikan prestasi yang berterusan. Modul Kepimpinan Aspirasi UTAMA turut dibincangkan, dengan penekanan kepada kepentingan pembentukan pemimpin dalam kalangan mahasiswa yang mampu membawa aspirasi universiti ke tahap yang lebih tinggi.
Menurut Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, menyatakan bahawa Reformasi Tatakelola Kokurikulum menjadi salah satu topik penting dengan tujuan untuk mempertingkatkan sistem pengurusan kokurikulum agar lebih efektif dan responsif kepada keperluan semasa. Selain itu, isu-isu berkaitan kesihatan mental dan fizikal mahasiswa turut mendapat perhatian khusus, dengan cadangan-cadangan yang bertujuan memperkukuhkan sokongan kepada pelajar dalam aspek kesihatan secara menyeluruh.
Pembangunan Bakat dan Potensi Pelajar juga dibincangkan, dengan pelbagai inisiatif yang dirancang untuk memastikan setiap pelajar UiTM dapat mencapai potensi tertinggi mereka. Kebajikan dan kesejahteraan pelajar turut menjadi agenda utama, dengan fokus kepada langkah-langkah untuk meningkatkan taraf hidup dan keselesaan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka.
Mesyuarat ini juga melihat kepada Wadah Transformasi Anak Mahasiswa UiTM (TAMU), satu platform penting dalam usaha memperkukuh hubungan antara pelajar dan pengurusan universiti, serta dalam menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan mahasiswa.
Keseluruhannya, mesyuarat dan bengkel ini menjadi medan perbincangan yang konstruktif bagi memperkukuhkan lagi peranan BHEP dalam memastikan kesejahteraan dan kecemerlangan mahasiswa UiTM secara menyeluruh.
Penulis :, Mohd Nor Hajar Hasrol Bin Jono, Mohd Zulhilmi Mohd Yunus
Penulis Bersama : Profesor Dr. Hj. Mohd. Sazili Shahibi, Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abg Rahman