Mesyuarat Penyerahan Kuasa Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP/CEC) 2024

16 Oktober 2024 – Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP/CEC) telah ditubuhkan selepas parlimen mahasiswa berlangsung dengan jayanya pada 12 hingga 13 October 2024 yang lalu. Dengan itu, telah tiba masanya untuk ahli-ahli CEC mengakhiri perkhidmatan mereka dan memberi laluan kepada wajah-wajah baru untuk menerajui CEC. Pada 14 October 2024, sebuah majlis penyerahan kuasa kepada ahli CEC baru telah diadakan di Bilik Mesyuarat Bangunan Budisiswa, UiTM Shah Alam. Majlis ini dihadiri oleh Pegawai Eksekutif Unit Korporat dan Tugas-tugas Khas (UKTK) JHEP, Encik Mohammad Faez Ne’man, Penolong Pendaftar Pusat Kegiatan Pelajar JHEP, Encik Wan Mohd Rafi Wan Rani dan Kerani Pejabat Pengarah Pembangunan Pelajar, Muhamad Syahir Abdul Aziz serta ahli-ahli CEC yang lama dan baru.

Perjumpaan tersebut dimulakan dengan penyerahan tugas oleh ahli-ahli CEC lama kepada ahli-ahli CEC yang baru. Kemudian, Encik Rafi memberikan taklimat penerangan mengenai CEC dan perkara-perkara yang akan dilaksanakan oleh CEC. Usai penerangan oleh Encik Rafi, perjumpaan tersebut diambil alih oleh ahli-ahli CEC yang lama untuk memberi maklumat yang lebih mendalam mengenai skop tugas mereka serta berkongsi pengalaman mereka dengan ahli-ahli CEC yang baru. Perkongsian antara ahli-ahli CEC menunjukkan kesungguhan mereka melaksanakan tugas mereka serta semangat juang mereka untuk berkhidmat.

Penyerahan kuasa kepada ahli CEC membolehkan tampuk kepimpinan diambil alih oleh barisan pemimpin yang baru, memberi ruang kepada mereka untuk melaksanakan idea-idea baru dan menggunakan kaedah pelaksanaan yang terkini. Ahli-ahli CEC yang lama pula boleh menjadi penasihat kepada mereka dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian mereka memandangkan mereka bakal menamatkan pengajian mereka serta akan mula sibuk dengan projek akhir tahun dan tugasan-tugasan lain. Buat pengetahuan umum, tugas CEC ialah setara dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan berkhidmat semasa pilihan raya. CEC pula ialah SPR di peringkat pilihan raya kampus. Pilihan raya kampus akan dijalankan pada masa terdekat maka CEC akan semakin giat bergerak melaksanakan tugas-tugas mereka untuk memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan lancar. Para pelajar yang menyertai CEC akan berpeluang untuk mempelajari cara CEC melaksanakan pilihan raya di kampus dan mendapat pendedahan bagaimana SPR menjalankan pilihan raya umum dan negeri. Diharapkan agar CEC dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah dan menimba ilmu pengetahuan sambil menjalankan tugas mereka.