Mesyuarat Penutup Audit Pematuhan Swaakreditasi UiTM 2023

PUNCAK ALAM, 24 Julai 2023 – Audit Pematuhan Swaakreditasi UiTM yang dilaksanakan bermula pada 13 Mac 2023 di UiTM Shah Alam telah berakhir pada 24 Julai 2023 di UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Perdana. Seramai empat (4) orang Panel Auditor dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah melaksanakan tugas dan memberikan komitmen penuh sepanjang proses pengauditan dan penilaian.

Mesyuarat Penutup Audit Pematuhan Swaakreditasi telah berjalan dengan lancar dengan kehadiran Naib Canselor UiTM serta Pengurusan Eksekutif dan dekan serta ketua-ketua jabatan. Rektor UiTM Cawangan turut mengikuti mesyuarat ini secara dalam talian dari lokasi masing-masing.

YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, dalam ucapan pembukaan telah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama memastikan persediaan dan perjalanan audit berjalan dengan baik dan sempurna. Beliau sangat menghargai usaha dan komitmen yang berterusan dari semua pihak dalam memastikan UiTM kekal sebagai universiti berstatus swaakreditasi.

Ketua Panel Auditor, Dr. Shahrin Mohamad telah membentangkan ringkasan dapatan audit sebagai makluman awal pihak UiTM sebelum laporan penuh dikeluarkan. Pihak beliau sangat berpuas hati dengan layanan dan hospitaliti yang disediakan oleh pihak UiTM sepanjang sesi audit berlangsung di Shah Alam mahupun di kampus cawangan. Beliau turut menyampaikan salam daripada bekas Ketua Panel Auditor iaitu YBhg. Prof. Dr. Azlinda Azman yang kini telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.

Pihak InQKA selaku Sekretariat Audit Pematuhan Swaakreditasi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemegang taruh, pelajar mahupun alumni dan warga UiTM yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Audit Pematuhan Swaakreditasi UiTM. Semoga kejayaan milik kita!