Mesyuarat Agung Tahunan MELTECH 2021

PUNCAK ALAM – Program Mesyuarat Agung Tahunan MELTECH 2021 anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah diadakan pada 23 Disember 2021 melalui aplikasi Facebook Live ‘MELTECH UiTM Puncak Alam’ dan Google Meet. Para pensyarah, staf makmal dan pelajar program Teknologi Makmal Perubatan telah turut serta menghadiri program ini. Tetamu jemputan, Dr. Mohd Nazri bin Abu, Ketua Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan turut dijemput bagi merasmikan majlis.

Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk membentangkan laporan program yang telah dijalankan dan juga laporan kewangan persatuan kepada warga MELTECH sepanjang tampuk kepimpinan organisasi MELTECH 22. Dalam pada itu, mesyuarat ini juga bertujuan untuk membubarkan organisasi MELTECH sesi 2020/2021 dan memperkenalkan pucuk pimpinan baharu MELTECH bagi sesi 2021/2022.

Pengarah program, saudari Nur Azlin Ernida binti Saharun berkata, diharapkan pucuk pimpinan baharu MELTECH 23 sesi 2021/2022 dapat komited dalam menguruskan organisasi seterusnya mengharumkan nama MELTECH dan UiTM di persada antarabangsa pada masa akan datang.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga dan penghargaan kepada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan program ini khususnya rakan seperjuangan MELTECH 22. Tanpa anda semua, program ini tidak dapat direalisasikan. Tidak dilupakan juga kepada pucuk pimpinan baharu MELTECH 23, tahniah diucapkan dan selamat maju jaya,” katanya.