Meraikan Pelajar Pengurusan Pembinaan, Sebahagian Atlet Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena Sambutan 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti

SHAH ALAM, 2 JULAI 2024 – Sekalung tahniah diucapkan kepada Mohamad Rasool Haqime bin Mohd Radzuan, pelajar semester 4 Pengurusan Pembinaan CFAP246, yang mewakili Kolej Pengajian Alam Bina (KAB). Beliau merupakan satu-satunya pengayuh sulung dari kolej pengajian yang telah berjaya menamatkan ekspedisi ‘Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan (Semenanjung)’ sempena 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti.

Pelajar ini telah berjaya mengayuh hampir 2000 km merentasi Semenanjung Malaysia, bersama 30 kru lain yang terdiri daripada 12 pengayuh dalam kalangan staf akademik dan pentadbiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta 4 pengayuh dalam kalangan pelajar. Ekspedisi ini berlangsung selama 14 hari, bermula dari 20 Jun hingga 2 Julai 2024. Pelbagai kenangan indah dan pahit diharungi pelajar bersama kru yang lain semasa ekspedisi berlangsung sejurus mencabar kekuatan fizikal, mental dan rohani tanpa mengenal erti mengalah. Ini menandakan satu inspirasi dan teladan kepada pelajar yang lain dalam menceburi aktiviti luar kuliah yang membolehkan mereka berpeluang meningkatkan semangat dan keyakinan diri semasa bergelar pelajar universiti.

Kejayaan Mohamad Rasool Haqime diraikan bersama kru yang lain pada Majlis Perasmian Penutupan ‘Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan (Semenanjung)’ yang diadakan sempena Ulang Tahun ke-25 UiTM Sebagai Sebuah Universiti. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti & Alumni.

Kayuhan ini juga mengangkat matlamat Sustainable Development Goals (SDG) 3, 11, 13, dan 17 yang berfokuskan kepada kelestarian alam sekitar dan juga mencerminkan komitmen UiTM terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti.