Menyemai Ilmu Seni Kreatif: Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Kedah Bersama Guru SK Bertam Perdana

MERBOK, 5 Januari 2025 – Seramai 15 orang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Perdana telah mengadakan lawatan ke Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani, bertujuan untuk memperluaskan pengetahuan mereka tentang bidang seni kreatif dan program yang ditawarkan dalam industri kreatif.

Lawatan akademik ini dimulakan dengan sesi taklimat oleh Penyelaras Misi Akademik Kolej Pengajian Seni Kreatif, Cik Syahrini, yang memperkenalkan program-program Seni Reka Grafik dan Seni Reka Perindustrian yang ditawarkan di kolej tersebut. Guru-guru turut diberi peluang untuk melihat karya pelajar seperti lukisan, model 3D, dan prototaip produk yang dipamerkan.

Lawatan ini juga membuka peluang kepada peserta lawatan untuk menyertai pembelajaran dan pengajaran mengenai design thinking yang dikelolakan oleh pensyarah dan pelajar UiTM Kedah. Aktiviti ini memberikan gambaran jelas tentang proses kreatif yang digunakan dalam menyelesaikan masalah melalui reka bentuk inovatif.

Menurut salah seorang guru, Encik Lokman, lawatan ini membuka mata mereka terhadap peranan seni kreatif dalam pendidikan dan bagaimana elemen seni boleh diterapkan dalam pengajaran di sekolah rendah. “Kami terinspirasi untuk membawa pendekatan seni kreatif ini ke dalam kelas bagi merangsang kreativiti murid-murid kami,” katanya.

Pihak Kolej Pengajian Seni Kreatif berharap lawatan ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak kolaborasi antara institusi pendidikan rendah dan tinggi dalam bidang seni dan reka bentuk.

Penulis Bersama : Pn Fadila Mohd Yusof, Cik Syahrini