Shah Alam, 26 Oktober 2024 – Kelestarian alam perlu dikekalkan dalam menikmati kehidupan yang sejahtera dan seimbang. Nilai cintakan alam semulajadi perlu disemai dalam kalangan generasi kini agar mereka dapat merasai dan mendalami kepentingan alam semulajadi. Disebabkan itu, Bidang Senibina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam tidak terkecuali dalam memupuk nilai murni ini. Hasilnya, pelajar Bidang Senibina Landskap telah menyertai program Elmina Urban Biodiversity Corridor Tree Planting Series III anjuran Tropical Rainforest Conservation and Research Centre di Bandar Elmina, Shah Alam. Seramai 14 orang pelajar dan diiringi oleh dua orang pensyarah turut sama-sama serta dalam program tersebut. Selain itu, para pelajar dan pensyarah dari Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Shah Alam turut terlibat dalam program tersebut.
Program ini bertujuan mengekalkan keseimbangan biodiversiti yang kian pupus dek pembangunan pesat yang tidak terkawal. Setidaknya, usaha murni ini dapat memulihara dan memelihara khazanah alam semulajadi yang ada di Malaysia seterusnya dapat megurangkan impak perubahan iklim. Program ini bertepatan dengan hasrat kerajaan MADANI yang menggalakkan penanaman pokok terutama di kawasan bandar. Program sebegini perlu diperluas dalam kalangan generasi muda agar mereka peka dengan kepentingan pokok dalam kehidupan yang seimbang. Sepanjang program berlangsung, para pelajar telah didedahkan dengan teknik penanaman pokok yang betul. Selain dari mengetahui spesis pokok yang ditanam, mereka juga dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam bilik kuliah secara praktikal. Bukan itu sahaja, mereka dapat mengeratkan hubungan sesama peserta lain yang turut terlibat dalam program tersebut. Program ini juga memupuk semangat kerjasama dalam kerja berpasukan. Akhirnya, kecergasan jasmani dan kecerdasan minda dapat dirasai seusai program tersebut selesai dilaksanakan. Diharap, program sebegini dapat dilaksanakan secara berterusan agar impak positif dapat dirasai. Ini juga merupakan satu usaha murni dalam menyemai benih kelestarian alam semulajadi.