Mengukuhkan Sinergi, Menggerakkan Strategi – Pemacu Kecemerlangan KPPIM UiTM Pahang

PAHANG, 27 Disember 2024 – Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Pahang (UCPh) telah menganjurkan Bengkel Sinergi dan Strategik KPPIM UCPh, bertujuan memperkukuhkan sinergi dalam kalangan warga akademik dan menyelaraskan strategi untuk mencapai Performance Indicators (PI) 2025. Bengkel ini juga menandakan penutup tahun 2024 dan permulaan visi serta misi baharu bagi tahun 2025.

Dr. Juhaida Ismail, Ketua Pusat Pengajian KPPIM, menyatakan bahawa program ini adalah landasan penting untuk memperincikan halatuju strategik KPPIM kepada para pensyarah. Beliau menekankan kepentingan kerjasama kolektif dalam menyusun langkah strategik yang mampan bagi memastikan pencapaian PI KPPIM yang menyumbang kepada kecemerlangan UiTM Cawangan Pahang.

Bengkel yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang ini menghimpunkan 39 pensyarah KPPIM UCPh, termasuk pensyarah baharu dan lama. Program dimulakan dengan sesi Penghargaan Pensyarah KPPIM 2024, yang memberikan pengiktirafan kepada pensyarah atas sumbangan mereka dalam memastikan kejayaan KPPIM sepanjang tahun.

Sesi diteruskan dengan pembentangan PI 2025 oleh Dr. Juhaida Ismail, yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai sasaran dan indikator pencapaian yang perlu dicapai. Perbincangan berkumpulan diadakan bagi membincangkan pelbagai strategi dan aktiviti yang dirancang untuk merealisasikan matlamat tersebut.

Hasil perbincangan dibentangkan pada sebelah petang untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan tambahan bagi memastikan perancangan yang lebih menyeluruh dan efektif. Idea-idea yang diutarakan mencerminkan dedikasi pensyarah dalam menjadikan KPPIM sebagai entiti akademik yang unggul.

Bengkel ini juga berfungsi sebagai platform untuk memupuk hubungan yang lebih erat dalam kalangan pensyarah. Sesi ramah mesra antara pensyarah baharu dan lama memperkukuhkan semangat keserakanan serta mendorong kolaborasi dalam pelbagai aspek, termasuk penerbitan ilmiah, penyelidikan, dan khidmat komuniti.

Bengkel Sinergi dan Strategik KPPIM UCPh diharapkan menjadi asas kukuh untuk melonjakkan kecemerlangan KPPIM pada tahun-tahun mendatang. Dengan sinergi yang padu dan strategi yang tersusun, program ini diyakini mampu memacu kecemerlangan warga KPPIM dan UiTM Cawangan Pahang, sekaligus menyumbang kepada pembangunan akademik negara secara keseluruhan.

 

Penulis bersama: Juhaida Ismail, Rozeleenda Abdul Rahman, Nazihah Ismail