‘Mencipta’ Peluang Kerja Graduan Pasca COVID-19


Kemahiran membangunkan laman web antara kursus jangka pendek bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan graduan

Setiap individu bergelar mahasiswa mengimpikan kerjaya yang sempurna selepas graduasi. Jerih perih, susah payah bergelut dengan peperiksaan, tugasan dan aktiviti pembelajaran, semuanya berpusat kepada beroleh kerjaya yang baik.

Namun, tidak semua impian mampu dicapai. Kadang-kadang, semuanya boleh menjadi igauan. Teringat kepada kata-kata ‘kusangka panas hingga petang, rupanya hujan di tengah hari’.

Realiti kini, kemelut COVID-19 yang melanda negara dan dunia, itulah batasnya. Peluang kerjaya pada era COVID-19 ini amat meruncing.

Pasca COVID-19 bakal menyaksikan ketiadaan peluang pekerjaan disediakan. Kadar pengangguran global ini pasti meletus. Perubahan drastik dan mendadak ini sudah pasti memberikan impak secara langsung kepada bakal graduan.

Mengikut sumber daripada Jabatan Perangkaan Negara, pada 2018, bilangan siswazah di Malaysia seramai 4.96 juta orang, meningkat 7.6 peratus daripada 4.61 juta orang pada 2017.

Data juga memaparkan pada 2018, bilangan siswazah bekerja seramai 3.99 juta orang, meningkat 8.2 peratus daripada 3.69 juta orang pada 2017.

Angka dan peratusan boleh dibanggakan. Namun, ketika pandemik COVID-19 melanda, ramai penganalisis menjangkakan penurunan mendadak peluang pekerjaan kepada graduan. Situasi ini amat membimbangkan.

Sebagai langkah awal bagi mengurangkan tekanan kepada graduan, universiti wajar melaksanakan kursus jangka pendek bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan graduan.

Kursus jangka pendek yang lebih dikenali dengan micro credential ini berupaya memberikan satu lagi nilai tambah yang bukan sedikit manfaatnya.

Apabila ruang bagi mendapatkan pekerjaan terhad, maka kemahiran tambahan mampu menyediakan graduan untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan. Kursus ini perlu dijalankan dalam talian, yang memungkinkan kemahiran dapat ditambahgiatkan lagi.

Mencipta pekerjaan dalam kampus adalah satu lagi inisiatif yang boleh diambil oleh universiti.

Universiti mempunyai pelbagai kepakaran dari segenap segi. Justeru, apabila tiba ujian seperti pandemik COVID-19, kepakaran setiap bidang menjadi lebih terjana.

Dari segi pelaksanaan, ia lebih mencabar kerana profesor, pensyarah dan tenaga akademik perlu mampu bersedia memberikan peluang bagi ‘mencipta’ satu lagi medan pekerjaan kepada graduan.

Antara inisiatif yang saya sebutkan tadi seperti membangunkan laman web, aplikasi digital, mengadakan konsultasi, pembinaan industri solar serta bidang pertanian. Ia adalah bidang yang sangat berpotensi untuk diterokai dan dimajukan secara inovatif serta kreatif.

Kedua, kita ketahui, graduan perlu digalakkan berada dalam bidang perniagaan. Ini yang universiti perlu titipkan.

Makan gaji pada sesetengah keadaan menjadi pilihan kedua. Justeru, ketika ini wajar graduan diberi peluang untuk terbabit lebih agresif dalam industri perniagaan.

Antara bidang yang boleh ditawarkan seperti bidang tekno usahawan, pembangunan pemasaran, tunas keusahawanan, usahawan dalam talian, pengurusan produktiviti dan kualiti perniagaan, rangkaian kerjasama dan pelbagai lagi.

Tidak terlepas daripada itu, universiti juga perlu membina hubungan rapat dengan agensi dan kementerian. Kita ketahui, graduan yang dilahirkan daripada pelbagai latar ilmu dan kemahiran. Oleh itu, mengadakan hubungan yang lebih akrab akan dapat memberi satu lagi nilai tambah bagi dimanfaatkan oleh graduan.

Tidak dapat dinafikan, alumni adalah nadi kepada kebolehpasaran graduan. Sebahagian besar universiti yang ternama di dunia memberikan keutamaan yang padu kepada pembabitan alumni.

Oleh itu, sewajarnya ketika pandemik ini berlaku, bagi membolehkan pasaran pekerjaan dapat diisi oleh graduan, intervensi daripada alumni yang berjaya amat dialu-alukan.

Kesimpulannya, universiti wajar berperanan bagi membantu negara melalui fasa kritikal seumpama ini, sebuah gedung yang melahirkan bijak pandai serta berkemahiran tinggi, sudah tentu detik inilah kita diuji.

Sudah tentu keupayaan sesebuah universiti itu bakal terserlah apabila graduan dilahirkan umpama ‘benih yang baik, dicampak ke darat menjadi bukit, dicampak ke laut menjadi pulau’.

Peranan universiti tidak terhenti sekadar ‘mengeluarkan’ graduan. Lebih penting, graduan yang dilahirkan punya manfaat yang besar dalam masyarakat.

Sumber :
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/06/701155/mencipta-peluang-kerja-graduan-pasca-covid-19