Mencipta Kerjaya Sebagai Usahawan Kandungan

Dunia keusahawanan tidak lagi terhad kepada penjualan produk dan penawaran perkhidmatan. Dengan perkembangan media sosial,muncul tren usahawan baru di kenali sebagai usahawan kandungan. Muhammed Al Qayyum Bin Yasseir Araffat, pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik semester 2 yang mengikuti Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Pengkomputeran Multimedia semakin mencipta nama sebagai usahawan kandungan.

Kerjaya beliau bermula seawal usia 16 tahun. Di kala remaja lain yang seusia menghabiskan masa dengan bermain permainan video atas talian, bekas pelajar MRSM Lenggong ini mula menjana pendapatan sampingan. Kerjaya Qayyum bermula dengan membantu guru-guru menyediakan video montaj dan sebagainya utk majlis-majlis di sekolah. Menyedari bakat dan potensi yang dimilki oleh Qayyum, guru kaunselingnya melantik beliau sebagai fasilitator bagi kursus-kursus melibatkan kemahiran multimedia. Ini telah membuka peluang untuk beliau berkongsi pengalaman dan kemahiran kepada pelajar-pelajar MRSM Lenggong serta sekolah lain. Hasil penjanaan pendapatan sampingan ini telah membolehkan beliau untuk melancong ke Medan, Indonesia.

Perjalanan Qayyum bukan mudah. Beliau pada awalnya menghadapi cabaran kerana kerana tiada komputer riba sendiri. Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi penghalang untuk Qayyum meneruskan pernaiagaan. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Qayyum dengan seribu daya nekad mencari jalan untuk terus berkarya dengan meminjam komputer riba dari guru atau rakan serta menggunakan komputer di makmal komputer di kampus MRSM beliau. Kekurangan ini tidak menjadi batu penghalang dan beliau tidak pernah putus semangat disebabkan minat yang mendalam terhadap bidang ini.

Di samping itu, beliau turut membantu perniagaan saudaranya dengan merekabentuk laman web, logo, dan pemasaran digital di media sosial serta ditawarkan peluang membuat video penajaan dan promosi filem. Hasil kerja beliau kini makin dikenali setelah video ucapan Selamat Hari Raya berkonsepkan Glambot yang dimuat naik ke media social menjadi tular dan turut dikongsi bersama oleh Yuna, salah seorang penyanyi terkenal Malaysia di laman Twitter nya.

Kini perniagaan beliau semakin berkembang dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan pengkomputeran seperti rekabentuk grafik, suntingan video, dan pembangunan laman web.Perkembangan ini membolehkan Qayyum menjana pendapatan empat angka setiap bulan.Lebih menarik lagi, kejayaan Qayyum sebagai usahawan kandungan mendapat pengiktirafan apabila beliau memenangi Business/Entrepreneurship Story Telling Competition or BEST 1.0 anjuran Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil Sederhana dan Keusahawanan Malaysia.