Memperkukuhkan Standard Pendidikan Global: Peranan UiTM Ditonjolkan Melalui Anugerah Terbaharu

Mumbai, India, 11 Julai 2024 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencapai satu lagi mercu tanda penting apabila Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dianugerahkan ‘Top 50 Women in Education’. Majlis anugerah yang berprestij ini diadakan bersama dengan World Education Congress Awards 2024 di Taj Land’s End di Mumbai. Anugerah ini mengiktiraf wanita yang telah menyumbang secara signifikan dalam bidang pendidikan melalui inovasi, dedikasi, dan kepimpinan.

Penghargaan ini adalah bukti pengiktirafan antarabangsa yang telah dicapai oleh UiTM dan komitmennya terhadap kecemerlangan akademik. Pengiktirafan ini juga adalah bukti  komitmen UiTM terhadap pengiktirafan kecemerlangan akademik di peringkat antarabangsa sekaligus meningkatkan reputasi UiTM di peringkat global.

Anugerah ini disampaikan oleh Prof. Indira J. Parikh, Pengasas Presiden FLAME, Pune dan Presiden Antardisha. Antardisha adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang komited untuk mewujudkan platform bagi individu dan institusi yang fokus kepada transformasi, pembelajaran berterusan dan pembangunan.

Peserta yang menghadiri acara ini terdiri dari India, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Amerika Syarikat, Uganda, United Kingdom, Malaysia, Bhutan, Jepun, dan Qatar. Manakala penerima kepada anugerah ini dinilai oleh  World Sustainability, World HRD Congress, World Federation, Academic & Educational, World Federation Quality and Professional, World Federation of Human Resources Professionals, dan Thought Leaders International.

Selain itu, Prof. Suzana juga telah dijemput untuk memberi syarahan di World Education Congress dan telah dianugerahkan dengan anugerah tersebut. Ini menekankan pengaruh dan ketonjolan UiTM dalam forum akademik antarabangsa. Pencapaian beliau mencerminkan dedikasi UiTM dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk kejayaan pelajar dan pendidik.

Anugerah ini secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa tenaga pengajar UiTM telah mencapai tahap pendidikan bertaraf dunia.  Pengiktirafan Prof. Suzana sebagai professor pakar  dalam perakaunan pengurusan telah memberi impak besar kepada sektor pendidikan di UiTM, kerajaan Malaysia, dan organisasi antarabangsa seperti ACCA dan CIMA. Beliau telah memberi pengaruh yang signifikan kepada landskap pendidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dengan lebih dari 33 tahun pengalaman mengajar. Latar belakang pendidikan beliau termasuk United Kingdom dan UiTM.

Sumbangan UiTM dalam menyediakan pendidikan yang cemerlang diiktiraf secara meluas. Universiti ini sentiasa menunjukkan keunggulan dalam bidang akademik, penyelidikan, dan kolaborasi antarabangsa. UiTM telah memantapkan kedudukannya sebagai institusi terkemuka dalam pendidikan global.