Memperkukuh Hubungan Akademik: Kunjungan Mahasiswa FKIP UNTAN ke Akademi Pengajian Bahasa

21 November 2024 – Akademi Pengajian Bahasa (APB), telah menerima kunjungan 15 mahasiswa dari Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Tanjungpura (UNTAN), Kalimantan, Indonesia. Lawatan ini disertai oleh 10 pensyarah, termasuk Timbalan Dekan FKIP, Dr. Urai Salam, dan Dr. Venny Karolina, penyelaras unit ‘Global Partnership’. Ini merupakan lawatan kedua FKIP UNTAN ke Akademi Pengajian Bahasa, memperlihatkan hubungan yang semakin erat antara kedua-dua institusi.

Objektif utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan maklumat berkenaan proses kemasukan ke program pascasiswazah yang ditawarkan oleh APB dan mengadakan sesi sumbang saran berkenaan kemungkinan kerjasama akademik. Selain itu, para peserta lawatan turut berpeluang melihat lebih dekat kemudahan di UiTM, termasuk Perpustakaan Tun Abdul Razak dan Galeri PTAR. Kunjungan ini seiring dengan dua objektif utama Universiti Teknologi MARA, iaitu menyediakan pendidikan bertaraf dunia dan menawarkan program akademik yang memenuhi keperluan pasaran, memacu pembangunan negara dan kemakmuran global. Melalui program ini, UiTM memberi peluang kepada mahasiswa antarabangsa untuk mendapatkan maklumat berkaitan program pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan keperluan global.

Lawatan ini juga membuka peluang untuk memperkukuh hubungan akademik antara UiTM dan UNTAN, serta meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan.