Memperkasakan kesihatan wanita melalui program komuniti sihat

Program Komuniti Sihat Pusat Perlindungan DAR ASA’ADAH.

GOMBAK – Saat cuti umum sempena Hari Buruh tidak menjadi halangan bagi Persatuan Pelajar Kejururawatan (NUSA) menyantuni penghuni Dar Assa’adah menerusi Program Komuniti Sihat yang merupakan salah satu projek penglibatan Universiti-Komuniti (University-Community Engagement) yang diusahakan oleh Jabatan Kejururawatan Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam.

Program hasil insiatif Pensyarah Kanan Kejururawatan FSK, Fatimah Sham, bertujuan untuk melibatkan kepakaran yang ada di UiTM serta penglibatan komuniti dalam berkongsi ilmu dan kemahiran khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan kepada wanita muda yang menghuni pusat perlindungan ini.

Program ini dimulakan dengan senaman sihat yang dikendalikan oleh Pelajar Fisioterapi dan Kejururawatan UiTM.

Aktiviti seterusnya adalah sesi perkongsian ilmu dan kemahiran menerusi Modul PEACE yang menggabungkan Pendidikan Kesihatan Seksual dan Reproduktif yang disampaikan oleh Pakar Sakit Puan, UiTM, Prof Dr Suzana Daud dan Dr Bahiyah Abdullah, serta Psychological Soft-Skills, Pakar Perunding Psikiatri UiTM, Dr Salmi Razali.

Perkongsian Ilmu dan Kemahiran daripada Fakulti Perubatan dan Sains.

Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan wanita dan gadis remaja dalam menghadapi cabaran dan masalah masa depan, meningkatkan daya tahan mereka terhadap keganasan, serta meningkatkan pengetahuan seksualiti dan kesihatan reproduktif.

Selepas menunaikan solat secara berjemaah, para penghuni dan pelajar UiTM telah berkongsi pengalaman hidup melalui slot Sharing Session.

Sesi ini berjaya memberi peluang kepada para pelajar UiTM untuk mempertingkatkan kemahiran komunikasi dan muhasabah diri atas pengalaman yang dikongsi oleh para penghuni pusat perlindungan ini.

Aktiviti terakhir adalah slot pendidikan kesihatan yang disampaikan oleh pelajar kejururawatan UiTM secara serentak dengan dibantu selia oleh anggota kejururawatan kesihatan awam (KA) daripada Persatuan Jururawat Malaysia Wilayah Persekutuan (MNAWP).

Aktiviti Pendidikan Kesihatan oleh Pelajar Kejururawatan UiTM yang di bantu-selia oleh KA dan MNAWP.

Antara topik yang disampaikan adalah mengenai Kepentingan Carta Pergerakan Janin, Senaman dan Pemakanan Ibu Antenatal kepada penghuni yang sedang hamil manakala topik Kepentingan Pemeriksaan Sendiri Payudara, Pap Smear, dan Perancang Keluarga yang diberikan secara umum untuk kesihatan wanita.

Aktiviti ini telah memberi peluang kepada pelajar kejururawatan dalam mengaplikasikan pembelajaran dan pengajaran yang mereka pelajari semasa di universiti dengan lebih berkesan lagi.

Oleh: Fatimah Sham & Balqis Jamaludin
Sumber: https://kampusuols.com/article/428964/Uni-Kita/AKTIVITI-KAMPUS/Memperkasakan-kesihatan-wanita-melalui-program-komuniti-sihat

0
0