Sabtu, 11 Januari 2025 – Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Business Society bagi sesi 2023/2024. Acara ini berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Kuliah (DK200) serta secara atas talian melalui telecast, menyaksikan kehadiran pelajar serta barisan kepimpinan fakulti. Program ini bertujuan untuk membubarkan Ahli Jawatankuasa sesi 2023/2024 dan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu sesi 2024/2025. AGM turut memberikan platform untuk membentangkan pencapaian, laporan kewangan, dan perancangan aktiviti semester akan datang.
Majlis bermula pada jam 10.30 pagi dengan ketibaan mahasiswa dan disusuli oleh tetamu kehormat, Dr. Nurulhuda binti Tajuddin, Koordinator Kursus Perniagaan, Cik Siti Syamira Mohd Ramli, Penasihat I serta Puan Wan Nurashikin Mahmood, Penasihat II Business Society. Lagu rasmi UiTM dan bacaan doa mengawali acara, mencerminkan komitmen terhadap nilai keilmuan dan profesionalisme. Presiden Business Society sesi 2023/2024, Muhammad Syahreen Kamarulzaman, memulakan sesi ucapan dengan memberikan penghargaan kepada pasukannya atas dedikasi yang ditunjukkan sepanjang tahun. Beliau turut menyerahkan laporan pencapaian dan aktiviti, yang disusuli pembentangan kewangan oleh Cik Siti Nur Alia.
Antara detik yang paling dinanti ialah pengumuman pemenang Anugerah Apresiasi Sekretariat, yang bertujuan mengiktiraf sumbangan individu terhadap kelab. Anugerah Pengarah Program Terbaik, Kepimpinan Terbaik, Komitmen Terbaik, dan Usahawan Terbaik diberikan kepada pelajar yang telah memacu kejayaan kelab sepanjang sesi 2023/2024. Presiden baharu bagi sesi 2024/2025, yang diumumkan pada akhir majlis, menggariskan visinya untuk membawa Business Society ke tahap yang lebih tinggi dengan fokus pada pembangunan kapasiti mahasiswa, keusahawanan, dan pengurusan yang mampan. Program ini juga sejajar dengan Sasaran Pembangunan Lestari (SDG) yang menekankan pertumbuhan ekonomi inklusif, pekerjaan adil, dan pembangunan sosial. Usaha ini menunjukkan komitmen UiTM dalam memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pemimpin masa depan.
Dalam penutup, tayangan video korporat dan persembahan penutup oleh barisan kepimpinan sesi 2023/2024 menjadi simbolik kepada kesinambungan kepimpinan dan semangat kolaborasi. Mesyuarat Agung Tahunan Business Society 2025 bukan sahaja menonjolkan kecemerlangan mahasiswa UiTM tetapi juga menjadi platform penting dalam memupuk nilai kepimpinan, kreativiti, dan inovasi. Semua pihak yang terlibat menyatakan harapan agar program seperti ini terus dikembangkan bagi memupuk pemimpin yang berkualiti dan berdedikasi untuk masa hadapan.
Penulis (1) Siti Syamira Mohd Ramli, (2) Wan Nurashikin Mahmood