RAUB, 15 Disember 2024 – Program ‘Family Day Bond with Freshie’ merupakan inisiatif yang dirancang oleh Business Society sesi 2023/2024 untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub. Program ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi pelajar semester satu FPP di Kampus Jengka untuk berkumpul, berinteraksi, dan membina kenangan bersama pengurusan fakulti dan pensyarah. Objektif program ini adalah untuk mewujudkan suasana yang mesra dan harmoni antara pelajar baharu dan lama. Selain itu, program ini menggalakkan komunikasi yang lebih baik antara warga fakulti. Program ini juga menyediakan aktiviti yang menyeronokkan dan mendidik semangat kerjasama dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Program ini diadakan di padang Kampus UiTM Jengka dengan pelbagai aktiviti yang dirancang untuk memenuhi keperluan semua peserta. Aktiviti yang dijalankan termasuk sukaneka dan senamrobik. Dengan penglibatan semua peserta, program ini dapat memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara lansung yang seterusnya mengukuhkan ikatan antara peserta. Pelajar dibentuk dalam kumpulan kecil dan sukaneka dibahagikan mengikut ‘checkpoint’. Peserta harus mengumpul mata bagi setiap ‘checkpoint’ untuk menjadi juara. Program telah bermula awal pada jam 9.00 pagi dan dirasmikan oleh Koordinator Pusat Pengajian Perniagaan dan Perbankan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Jengka, Puan Normila Binti Abd Wahid. Beliau mengucapkan rasa syukur kerana aktiviti ini dapat dijalankan dengan baik serta dapat mengeratkan jurang pelajar antara dua kampus.
Program ini telah membuktikan bahawa aktiviti berkumpul bersama ahli fakulti adalah penting dalam membina dan mengukuhkan hubungan. Dengan pelaksanaan yang terancang dan aktiviti yang menarik, program ini telah memberikan impak positif yang ketara kepada semua peserta. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang untuk memastikan hubungan kekeluargaan antara warga fakulti akan terus terjalin dengan baik.
Penulis (1) Wan Nurashikin Binti Mahmood, (2) Siti Syamira Binti Mohd Ramli