Memperkasa Program Kejuruteraan: Lawatan Penanda Aras UiTM ke UniMAP

3 September 2024 –  Pensyarah dan penolong pensyarah dari Pengajian Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang telah mengadakan lawatan penanda aras ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertujuan untuk menilai dan membuat penanda aras bagi program CEEM110 – Diploma Kejuruteraan Mekanikal, selaras dengan keperluan pengauditan dan penyediaan laporan Self-Assessment Report (SAR) di bawah Engineering Technology Accreditation Council (ETAC).

Seramai 25 orang pensyarah dan penolong pensyarah terlibat dalam program ini bagi penyediaan laporan akreditasi untuk audit ETAC 2025. Aktiviti yang dijalankan merangkumi sesi perbincangan penanda aras dan lawatan ke fasiliti makmal sehingga jam 4:00 petang. Lawatan ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan dalam bidang kejuruteraan mekanikal di UiTM, tetapi juga selaras dengan objektif Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang menggalakkan pengukuhan standard pendidikan tinggi dan penawaran program yang relevan dengan kehendak industri.

Selain itu, program ini sejajar dengan visi dan misi UiTM untuk melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing serta memperkasakan program kejuruteraan agar lebih inovatif dan responsif terhadap perubahan teknologi. Dengan input yang diperoleh, pensyarah diharapkan dapat mengadaptasi amalan terbaik dari UniMAP untuk memperbaiki kurikulum, meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar, dan mempersiapkan mereka untuk cabaran dunia pekerjaan.

Penulis: Nur Hafizah Habideen, Nur Kamarliah Kamardin