Memperkasa Pemahaman Warga PDRM tentang Program Pra Diploma UiTM oleh Pejabat Pra Pendidikan Tinggi (PPPT) .

Hubungan PPT dan PDRM telah lama terjalin melalui Koordinator PPT, Universiti Cawangan Selangor (UCS), Dr Nursaadatun Nisak Ahmad bersama Tuan DSP Balachandran a/l Annamalai (PDRM, Bukit Aman). Namun, atas faktor jadual tugas dan kesibukan Ketua Pengarah PDRM dan warganya, PPT masih belum berpeluang untuk berkongsi maklumat berkaitan program Pra Diploma dengan mereka sebelum ini. Meskipun ramai di antara warga PDRM telah mengetahui akan kewujudan PPT dan program Pra Diploma atau dulunya dikenali sebagai Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), namun ramai di antaranya yang belum sedar akan kelebihan dan keistimewaan PPT dalam menyediakan ruang dan peluang pembelajaran kepada anak-anak Melayu, Sabah, Sarawak dan Orang Asli, selain keistimewaan yang tersedia untuk para atlet sekolah.

Atas usaha gigih pihak UiTM yang tidak pernah mengenal jemu, PPT akhirnya dijemput untuk memberikan taklimat ringkas bersama lebih kurang 21 orang warga PDRM pada hari Jumaat, 22 April 2022, jam 10.00 pagi, bertempat di Bilik Mesyuarat Bahagian Latihan Bukit Aman. Taklimat ringkas Program PPT ini telah diketuai oleh YDH Dato’ Nerita binti Yaacob iaitu Timbalan Pengarah Pengurusan Bahagian Latihan. Jemputan yang diterima secara tiba-tiba ini menyebabkan Pengarah PPT tidak dapat hadir kerana telah lebih dahulu dijadualkan untuk program “Amanat Pengarah PPT bersama pelajar-pelajar Pra Diploma”. Oleh yang demikian, PPT diketuai oleh Ketua Unit Akademik, Dr Ani Mazlina Dewi Mohamed.

Dalam lebih kurang 20 minit masa yang diperuntukkan kepada PPT, Felo Promosi dan Alumni, Dr Hajah Leylawati Joremi dengan dibantu oleh Ketua Unit Akademik PPT dan Koordinator UCS (laluan atlet) berjaya memberi kefahaman yang telus kepada warga PDRM yang hadir pada hari tersebut. Penerangan melibatkan pengenalan lanjut mengenai kandungan program PPT, keistimewaan yang bakal diperolehi oleh para pelajar yang memasuki program PPT dan peluang melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Pelbagai persoalan, kekaburan dan keraguan berjaya diselesaikan oleh ketiga-tiga wakil PPT dan sesi taklimat dua hala secara santai ini disifatkan berjaya mencapai misi akademik PPT untuk menyebarkan informasi penting dan primer kepada warga PDRM. Kit promosi yang mengandungi maklumat lengkap mengenai program PPT telah dikongsikan bersama warga PDRM dan dipercayai dapat memberi manfaat untuk dikongsi bersama warga PDRM lain yang tidak dapat hadir.

Pihak PPT optimis dengan cadangan dan peluang yang dijanjikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) dalam usaha membentuk kerjasama di antara PDRM dan unit PPT UiTM pada waktu lain yang lebih bersesuaian dalam program-program PDRM lain kelak. Alhamdulillah, PDRM juga dilihat komited untuk membantu PPT menyebar luaskan informasi berkaitan Program Pra Diploma UiTM ke dalam media sosial rasmi PDRM.

Semoga pertemuan ringkas ini menjadi titik mula kepada kerjasama yang lebih erat di antara PPT dan PDRM demi memanfaatkan anak bangsa. Justeru, melalui program PPT ini, diharap dapat memberi kesedaran kepada semua bakal graduan di luar sana untuk lebih gigih berusaha dalam meraih ilmu pelajaran tanpa henti dan memperolehi kejayaan tertinggi pada suatu hari nanti.

Penulis:
Dr Hajah Leylawati Joremi (Felo Promosi dan Alumni, PPT)
Dr Nursaadatun Nisak Ahmad (Koordinator Universiti Cawangan Selangor – laluan atlet)